FAMILI DUO 3: SYAIFUL & SHARIF BERSIAP SEDIA UNTUK KE SEMI FINAL!

Pengalaman 10 tahun dalam industri hiburan ini bukan jalan mudah bagi duo pasangan adik-beradik, Syaiful & Sharif Zero untuk berentap di pentas Famili Duo 3! Setiap kali sebelum mereka tampil ke pentas, Syaiful & Sharif akui gugup dan tidak sabar mahu melihat reaksi daripada juri dan penonton yang menilai hasil kerja mereka. Apatah lagi mereka yang dikenali sebagai pelawak telah diberi tanggungjawab untuk membawakan lagu bertemakan ‘legenda’ di episod yang lalu.

Menurut Syaiful, untuk menjadi penghibur mereka perlu versatil. Itulah yang mereka akan buktikan kepada semua terutamanya peminat setia mereka. “Setiap pertandingan ada kalah dan menang. Kami anggap ini semua sebagai pesaing sihat dan positif untuk memajukan lagi industri seni hiburan. Kami akui memang berhadapan dengan situasi sukar apabila membawakan lagu Mentera Semerah Padi. Lagu ini adalah hasil karya daripada sifu Dato’ M. Nasir dan dinyanyikan sendiri oleh beliau. Lagu ini juga merupakan lagu balada tradisional yang memerlukan banyak tenaga dan stamina. Boleh atau tidak orang ramai terima kami yang sememangnya pelawak membawakan lagu serius? Tapi kami hanya fikir, untuk menjadi penghibur serba boleh, kami perlu lakukan dengan ikhlas. Jadi kami perlu seimbangkan kesemuanya dan yang penting dapat membuat orang ramai terhibur! Tugas kami adalah memberikan yang terbaik dan enjoy di atas pentas.”

Kemenangan yang diperolehi minggu kelima ini juga merupakan kemenangan buat semua yang terlibat dalam membantu serta menyokong mereka terutamanya Rio (pengarah muzik), Cikgu Delly (guru vokal), Fad Bocey, artis jemputan iaitu pelawak tersohor Joey Daud, pesilat negara Al-Jufferi serta ahli keluarga.

Untuk minggu seterusnya, mereka perlu lebih konsisten dan fokus dengan ketiga-tiga elemen konsep Famili Duo iaitu nyanyian (vokal), persembahan dan kreativiti. Shariff mengakui mereka perlu lebih berhati-hati dengan kebangkitan Ryan dan Adam Bakery. “Kesemua peserta hebat-hebat belaka. Kalau dari segi nyanyian, saingan kami tentulah Shila, Adira, Emma, Haqiem, Tom dan Fuad. Mereka memang penyanyi dan kalau masuk final pun memang mereka semua power! Jadi sekarang kami perlu lebih berhati-hati dengan Ryan dan Adam Bakery kalau kami ingin masuk ke final kerana tiap-tiap minggu mereka memang bagi all out dan minggu ini mereka dapat tempat kedua.”

Sasaran duo adik-beradik ini ialah terus dinilai sebagai salah satu duo yang layak untuk bergelar finalis di pentas akhir Famili Duo 3 di samping memberikan persaingan hebat kepada duo yang lain. Berjayakah mereka menggapai impian ini? Semuanya bakal terjawab pada minggu yang akan datang!

Jangan terlepas untuk gandakan sokongan buat duo kegemaran anda sebanyak 50 kali undian apabila anda menggunakan kod ‘FAMILIDUO2023’ ketika melanggan pakej TontonUP dengan harga serendah RM20 bagi 3 bulan pertama! Nantikan juga pentas persembahan Famili Duo seterusnya pada 19 November 2023, pukul 9.00 malam di TV3. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *