Fedtri Yahya Raih Lima Pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024

Ahmad Fedtri Bin Yahya, yang lebih dikenali sebagai Fedtri Yahya, telah mencatatkan sejarah dalam industri penyiaran dengan meraih lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024. Sebagai seorang pengacara TV dan penulis lirik terkenal di Malaysia, Fedtri baru-baru ini telah diiktiraf sebagai Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024.

Fedtri, yang mengendalikan program-program ikonik seperti Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Aduan Jiwa, dan Soal Rakyat, dicalonkan dalam empat kategori berprestij di Anugerah Seri Angkasa 2024. Kategori tersebut termasuk Bicarawara TV Terbaik melalui ‘Aduan Jiwa (Gelap Duniaku)’, Montaj TV Terbaik untuk ‘Aduan Jiwa’, serta dua pencalonan untuk Pengacara TV Terbaik menerusi ‘Jejak Rasul 2023’ dan ‘Aduan Jiwa’, serta Pengulas TV Terbaik untuk ‘Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria’.

“Saya tidak menyangka akan dicalonkan dalam empat kategori serentak tahun ini, apatah lagi dengan usia yang semakin meningkat. Saya sangat teruja dan berdebar kerana ini adalah pencalonan terbanyak bagi saya. Ketika mendapat tahu tentang pencalonan ini, saya demam akibat terkejut, mungkin ini adalah demam kegembiraan. Saya berharap dapat tersenarai dalam top lima, itu sudah memadai bagi saya,” kata Fedtri dengan rasa syukur yang mendalam.

Beliau melihat pencalonan ini sebagai satu motivasi untuk memperbaiki mutu karyanya. Fedtri bercita-cita untuk terus berkarya sepanjang hayat dan berhasrat untuk melakukannya dengan pendekatan yang lebih matang di masa hadapan. “Selagi belum putus nafas, cinta bahasa akan terus bergema,” ujarnya dengan penuh semangat. Salah satu impian beliau adalah untuk memiliki podcast sendiri, yang membolehkannya mengekspresikan idea dan kreativiti dengan lebih bebas, selaras dengan kehendak semasa.

Fedtri juga terinspirasi oleh tokoh-tokoh hebat dalam perjuangan bahasa Melayu, antaranya Usman Awang, seorang sasterawan negara yang memberi kesan mendalam kepada pemikirannya melalui karya-karya yang berbobot. Selain itu, beliau juga merujuk kepada Jalaluddin Rumi, yang terkenal dengan kebijaksanaan dan keindahan bahasa dalam puisi-puisinya. “Tiada dorongan khusus kerana bagi saya, saya ikhlas dalam berbahasa. Namun, kedua-dua tokoh ini menjadi penanda aras bagi saya dalam penggunaan bahasa. Saya berharap agar bahasa Melayu terus digunakan dengan betul dan dihargai di kalangan masyarakat Melayu,” jelas Fedtri.

Fedtri Yahya

Sepanjang perjalanan kerjayanya, Fedtri menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kehilangan suara selama sebulan ketika mengacarakan Jejak Rasul pada tahun 2022. “Saya memang takut ketika itu kerana kehilangan suara ditambah dengan cuaca yang panas. Namun, saya bersyukur kerana penat lelah saya terbayar apabila rating program Jejak Rasul melonjak naik semasa PKP. Saya sering ditegur oleh anak-anak kecil di bazar Ramadan yang memberi kata-kata semangat, dan kenangan ini akan saya simpan selamanya,” kenang Fedtri.

Penggambaran di Syria juga memberikan kesan mendalam kepada beliau apabila menyaksikan sebuah sekolah dibakar di hadapan matanya. Walaupun berhadapan dengan cabaran berat, Fedtri tetap bergantung kepada sokongan rakan sekerjanya dan fokus pada mesej yang ingin disampaikan, menjadikannya lebih positif dalam menghadapi dugaan.

Fedtri Yahya, yang menjunjung martabat bahasa yang luhur, diibaratkan sebagai perwira kalam, menggubah mutiara makna dalam setiap lafaz. Tahniah kepada beliau atas penerimaan Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, yang disampaikan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Anugerah ini mengiktiraf dedikasi Fedtri dalam memperkasa bahasa dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk menjunjung warisan bahasa sebagai jati diri bangsa.

Menurut Fedtri, pengiktirafan ini merupakan kemuncak kecintaannya terhadap dunia bahasa, yang sudah bermula sejak kecil. “Saya seorang yang obses dengan bahasa. Sejak kecil, saya mencatat perkataan unik dan belajar maksudnya. Minat ini berkembang seiring dengan pencapaian dalam pertandingan dan peperiksaan, sehingga menjadi percintaan saya terhadap bahasa.”

Sebagai Ikon Bahasa 2023/2024, beliau yang sememangnya gila bahasa sejak kecil, berkata, “Sebelum darjah satu lagi, saya sudah minat bahasa, walaupun waktu itu saya tidak begitu memahami. Tetapi kerana obses, setiap kali mendengar radio atau menonton televisyen, saya akan salin beberapa perkataan yang saya rasa unik dan cuba mencari maksudnya. Apabila menyertai pertandingan dan memperoleh keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, di situ bermulanya titik indah percintaan saya dalam bahasa.”

Fedtri juga menyeru generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu. “Saya akan terus turun padang dan memberi sokongan. Setiap kali memberi ceramah atau melawat sekolah, saya sentiasa mendorong mereka untuk mencintai bahasa, seperti yang saya lakukan.”

 

Ayuh gemerlapkan cinta bahasa, sebelum tiba gerhana mati rasa…
Kalau tidak kerana kerawang,
Tidaklah mahligai coraknya berseni,
Kalau tidak bahasa dijuang,
Tidaklah hamba bersimpuh di sini.

 

‘’Terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 & Media Prima yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar.’’

 

Tahniah sekali lagi diucapkan buat Fedtri Yahya atas pencalonan beliau dalam beberapa kategori di Anugerah Seri Angkasa 2024 dan dinobatkan sebagai Ikon Bahasa 2023/2024 pada 6 Oktober lalu. 

Jadi untuk mendapatkan info terkini, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton melalui www.tonton.com.my.  Anda juga boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *