Uji bakat Calpis Soda One In A Million di Kuala Lumpur baru-baru ini telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila menyaksikan beberapa nama terkenal dalam industri seni tanah air turut muncul untuk mencuba nasib dalam usaha menjadi bintang dalam pertandingan ini.
Lokasi uji bakat yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam dan Universiti Malaya pada hujung minggu lalu, iaitu 16 dan 17 November 2024, dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis popular seperti Idayu, Salmah Asis, Zainal Alam Kadir, Raes Ariffin, Firman Hyper Act, Zaki Yamani, Ameerais, Kyra Bahar, Hariz Fayahet, dan Fareez Fauzi Mentor. Kehadiran mereka di pentas uji bakat ini membuktikan bahawa Calpis Soda One In A Million tetap menjadi tumpuan para penggiat seni yang ingin mencipta nama di persada muzik tanah air.
Program muzik yang penuh dengan kejutan ini terus membuka peluang kepada bakat-bakat baru untuk mempamerkan kebolehan mereka di pentas yang penuh berprestij ini. Uji bakat Calpis Soda One In A Million di Kuala Lumpur pada 16 dan 17 November lalu mendapat sambutan luar biasa apabila lebih daripada 2,000 orang membanjiri kedua-dua lokasi yang telah dipilih untuk mencuba nasib mereka. Acara dua hari ini menjadi pesta bakat yang amat dinanti-nantikan, di mana setiap sudut dipenuhi dengan individu yang bersemangat tinggi untuk merebut peluang ke pentas utama.
Salah satu momen bersejarah yang berlaku dalam uji bakat kali ini adalah penampilan semula Alina Hassan, seorang legenda seni suara yang berusia 56 tahun. Selepas sekian lama menyepi dari dunia seni, Alina Hassan, yang juga juara Passport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga dalam Mentor Otai, tampil mengejutkan juri dan peserta dengan vokalnya yang luar biasa. Penampilannya pada sesi uji bakat di AEON Mall Shah Alam telah memberi kejutan dan inspirasi kepada semua yang hadir, membuktikan bahawa bakat sejati tidak mengenal usia. Alina menunjukkan bahawa semangat untuk terus berkarya tidak pernah pudar, malah semakin membara.
Selain itu, acara ini turut menyaksikan kehadiran duo istimewa, DNA, yang terdiri daripada Firdaus dan Adam Zikri, dua individu dari golongan orang kurang upaya (OKU). Duo ini memukau juri dengan karya seni yang penuh makna dan keunikan. Shaffiq Erwin dan AG Coco, dua juri yang hadir, sangat terkesan dengan hasil karya mereka dan memberikan tawaran rakaman lagu-lagu mereka di studio AG Coco. Ini adalah satu pengiktirafan besar terhadap kemampuan mereka dalam mencipta karya seni yang berkelas dan penuh bakat.
Uji bakat Calpis Soda One In A Million juga benar-benar merayakan kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia, di mana peserta dari pelbagai latar belakang bangsa, seperti Melayu, Cina, dan India, turut memeriahkan acara ini. Ini jelas menunjukkan bahawa muzik adalah bahasa universal yang mampu menyatukan rakyat Malaysia. Salah seorang peserta yang menarik perhatian adalah Khaw Zhen Xuan, seorang remaja berusia 16 tahun yang datang jauh dari Pulau Pinang untuk mencuba nasib di Universiti Malaya. Dengan sokongan penuh daripada ibu bapanya, Zhen Xuan terus berusaha mengejar impian dan mencipta peluang untuk masa depannya.
Kemunculan bintang-bintang terkenal juga menambah meriahkan suasana acara ini. Di Universiti Malaya, bintang dari Famili Duo seperti Sharul Kamal, Zahid, Naqiu, dan Shiha Zikir turut menghiburkan pengunjung dengan sesi ramah mesra, sementara penyanyi terkenal Khai Bahar mempersembahkan lagu-lagu hitnya yang menggamit perhatian ramai. Pada hari Ahad, pengunjung juga disajikan dengan persembahan bertenaga daripada Amir Masdi dan The Dukes. Peminat drama tanah air juga berpeluang bertemu dengan selebriti popular seperti Rita Nadira, Chacha Maembong, Imran Aqil, dan Shah Iskandar dalam sesi ramah mesra di lokasi tersebut.
Bagi yang belum berkesempatan hadir, jangan risau kerana uji bakat Calpis Soda One In A Million masih diteruskan di Kuantan City Mall, Pahang, dan Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 November 2024. Di Kuantan, peminat akan disajikan dengan persembahan daripada Haqiem Rusli, sementara di Kuching, mereka akan diserikan dengan persembahan daripada Sufian Suhaimi. Barisan juri di Kuantan akan terdiri daripada Indah Ruhaila dan Sarah Ismail, manakala pada hari kedua Ara Johari akan bergandingan dengan Sarah Ismail. Di Sarawak. juri terdiri daripada Bob Yusof dan Shaffiq Erwin.
Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, mereka masih boleh menyertai uji bakat ini melalui Uji Bakat Dalam Talian. Anda hanya perlu memuat naik video nyanyian berdurasi 1 minit di TikTok dengan menggunakan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara sehingga 24 November ini.
Bergabunglah dengan kami di TV3 pada bulan Disember ini untuk melihat pencarian suara bernilai sejuta ringgit Malaysia yang seterusnya. Ikuti perkembangan terkini melalui @TV3Malaysia di semua platform sosial dan rasai keterujaan Calpis Soda One In A Million bersama Calpis Soda, minuman soda kegemaran budaya Malaysia yang penuh kesegaran! Untuk maklumat lanjut, layari Facebook dan Instagram rasmi Calpis Soda.