Dengan tema cinta yang terkenal tetapi nada dan mesej yang luar biasa, filem komedi LA LUNA, dengan beberapa pelakon terbaik negara, bersedia untuk menyambut penontonnya! Diarahkan oleh pengarah filem berbakat Singapura M. Raihan Halim, filem kerjasama antara Singapura dan Malaysia ini akan dibuka di pawagam di Singapura pada 16 November 2023, dan di seluruh Malaysia pada 9 November 2023.
Raihan Halim bersama dengan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan telah bersedia menghidangkan sebuah juadah yang pasti memikat hati khalayak dan pencinta filem khususnya!
Ternyata M.Raihan Halim selaku sutradara filem ini mempunyai kedekatan yang begitu luar biasa dengan La Luna. Ujarnya, “Apabila saya menulis La Luna, saya merasakan bahawa ia adalah milik saya. Pada hari saya memberikan skrip kepada pelakon, ia menjadi milik mereka. Dan kini filem itu dibuat dan ditayangkan, ia adalah milik penonton. Ia adalah satu perjalanan yang sangat mengujakan, menyedihkan, mencabar dan akhirnya menggembirakan dan saya harap semua orang menikmatinya sama seperti saya melakukannya.”
“ La Luna.. ia mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadang kala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan,” ujar sutradara berusia 41 tahun ini.
Menganggap ia sebuah cerita ‘labour of love’, pengalaman berada dalam situasi La Luna memberikan dirinya pelbagai emosi- gelak tawa serta momen-momen yang besar dan detik-detik berat. Namun satu harapan yang terbit dari sudut hatinya yang terdalam- agar para penonton kelak akan ketawa, kekal dengan tema yang dibawakan melalui filem ini …dan tinggalkan pawagam dengan senyuman di wajah!
Dengan kos produksi sebanyak S$1.1 juta (RM3.5 juta), LA LUNA melatarkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah, yang merupakan kawasan paling tegas di negara ini. Dengan kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama ‘La Luna’ secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat. Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun, ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemilik kedai tersebut dengan apa cara sekalipun!
Sisi pemerkasaan wanita dipaparkan dengan menarik dan kemas dalam filem ini. Mesej ini yang perlu dihadam dan diperhalusi dalam momen-momen yang dipaparkan secara santai di bawah garapan M. Raihan Halim.
LA LUNA dipersembahkan oleh Clover Films; dengan kerjasama ACT 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films; diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, dan Wouter Barendrecht Film Foundation.
Diedarkan bersama di Malaysia oleh Clover Films dan SKOP Productions, manakala di Singapura, Clover Films mengedarkan bersama Golden Village.
Menurut Encik Lim Teck selaku Penerbit Eksekutif & Pengarah Urusan, Clover Films, pihaknya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan pelakon hebat LA LUNA, dan percaya bahawa Clover Films telah mencipta filem yang menghiburkan dan bermakna. “Kami tidak sabar untuk menunjukkannya kepada penonton Malaysia, dan pasti semua orang akan menyukainya!”, ujar Encik Lim Teck.
Manakala Adrian Teh selaku Penerbit Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Act 2 Pictures melihat filem ini sebagai sebuah kerjasama sinematik antara Singapura dan Malaysia yang menampilkan barisan pelakon yang sangat berbakat dan disematkan bintang. “Filem ini bukan sekadar cerita biasa; ia adalah satu penerokaan untuk meninjau beberapa adat tradisional dan untuk memperingati pemerkasaan wanita dalam masyarakat. Anda pasti tidak mahu ketinggalan ini,” tambahnya.
Filem La Luna malah mencipta satu lagi sejarah apabila filem ini telah ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober lalu. Pengarah telah terbang ke negara matahari terbit itu untuk menjayakan festival berkenaan. Diadakan setiap tahun di Jepun, Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia. La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dalam senarai 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.
Malah filem ini turut masuk ke Jakarta Film Week. Pengarah, Shaheizy Sam dan Sharifh Amani diterbangkan ke Jakarta untuk sesi tayangan dan temuramah di sana.
Filem ini bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023.