Royal Selangor, nama yang tidak asing dalam dunia seni kraf logam, kini mengukir satu lagi sejarah dengan menyertai dunia sinematik Malaysia menerusi koleksi eksklusif Keluang Man, hasil kolaborasi strategik bersama Astro Shaw. Ini merupakan titik persilangan antara warisan seni pembuatan piuter dengan dunia filem tempatan yang semakin berkembang. Hasilnya, lahirlah satu koleksi yang bukan sahaja menawan dari segi visual, malah membawa makna mendalam terhadap kebudayaan dan warisan Malaysia.
Koleksi figurin miniatur Keluang Man ini direka dengan penuh ketelitian oleh artisan Royal Selangor. Ia menampilkan watak wira rakyat itu dalam posisi bersilat, satu pose ikonik yang menghidupkan semula semangat adiwira tersebut. Figurine ini bukan sahaja simbolik kepada kekuatan dan kecekalan Keluang Man, tetapi juga menunjukkan tahap ketelitian seni pertukangan piuter Malaysia yang semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dengan hanya 30 unit dikeluarkan, setiap satu hadir bersama nombor siri unik dan tapak yang boleh diukir secara peribadi, menjadikannya pilihan eksklusif buat penggemar seni dan pengumpul memorabilia filem.
Bukan itu sahaja, koleksi ini turut menampilkan pin lapel berbentuk lambang Keluang Man yang sinonim dengan keberanian dan keadilan. Terdapat dua versi pin ini: kemasan satin dan satu lagi versi istimewa bersalut emas 24 karat, masing-masing terhad kepada 100 unit sahaja. Ia bukan sekadar aksesori, tetapi simbol warisan kebanggaan tempatan dalam bentuk yang bergaya dan kontemporari.
Filem Keluang Man, arahan Anwari Ashraf, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin, dan ramai lagi yang bakal menghidupkan semula watak ikonik ini di layar perak.
Sementara menantikan kemunculan filem ini di pawagam, para peminat setia serta penonton generasi baru boleh mengimbau semula perjalanan asal wira tempatan ini menerusi siri animasi Keluang Man yang kini boleh ditonton secara dalam talian di www.keluangman.com, bermula dari musim pertama hingga musim ketiga.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem Keluang Man yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025. Untuk berita terkini, klip eksklusif, dan kandungan menarik lain, ikuti Astro Shaw dan Astro Gempak di platform media sosial seperti TikTok, Instagram, X, dan Facebook. Gunakan tanda pagar rasmi #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi keterujaan dan pandangan anda tentang kebangkitan semula wira legenda ini!