LATEST

Gandingan Komposer Muda dan Artis Baru, Lagu Raya ‘Hari Kemenangan Dunia’ Memikat Hati

Setiap tahun, industri muzik tanah air pasti dimeriahkan dengan kemunculan pelbagai lagu raya yang menggabungkan pelbagai genre dari pelbagai syarikat rakaman. Pada tahun ini, pastinya banyak lagu yang dinantikan oleh pendengar dan peminat lagu-lagu raya tempatan. Salah satu lagu yang mencuri tumpuan adalah “Hari Kemenangan Dunia”, terbitan Anggun Music Production yang dicipta oleh komposer muda yang berbakat, Ilham Iskandar.

Walaupun Anggun Music masih baru dalam industri muzik, kesungguhan mereka untuk menghasilkan lagu raya setiap tahun harus diberi penghargaan. Mereka bukan hanya memberi peluang kepada komposer baru, tetapi juga tampil dengan beberapa artis baru berbakat seperti Syafiq Ibrahim, Wazir Wahid, Zainol Roslan, Meclisandra, serta penyanyi jemputan seperti Erman Braka dan Mayuji, yang juga merupakan adik kepada penyanyi Hazama. Keseluruhannya, lagu ini melibatkan lapan penyanyi, termasuk komposer itu sendiri.

Berbanding dengan tahun lalu (2024), yang menyaksikan penerbitan lagu Rindu Ayah Bonda nyanyian Yamani Abdillah dan Syafiq Farhain, yang memberi sentuhan melankolik dengan genre lagu sedih, Hari Kemenangan Dunia hadir dengan konsep yang lebih segar. Lagu ini menggabungkan rentak poptwist dan popjazz yang rancak, mengingatkan kita pada muzik Silve Tortoise yang pernah popular satu ketika dahulu. Ini merupakan satu perubahan berani dalam genre lagu raya yang jarang ditemui, namun diharap dapat diterima oleh pendengar dari pelbagai lapisan usia.

Lirik lagu ini, yang juga ditulis oleh Ilham Iskandar, mungkin kelihatan sederhana pada pandangan pertama, tetapi mesej yang terkandung di dalamnya sangat mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa masih ada saudara seagama kita di luar sana yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan penuh derita, dan kita di sini wajib bersyukur serta menyambutnya dengan penuh kesederhanaan.

Selain itu, Anggun Music juga layak dipuji kerana memberi peluang kepada artis baru yang berpotensi. Selain menghasilkan lagu raya, syarikat ini juga telah melancarkan beberapa single untuk artis mereka yang menunjukkan bakat luar biasa. Sebahagian besar daripada mereka telah mencipta nama melalui pelbagai pertandingan lagu, seperti Syafiq Ibrahim yang pernah menjuarai beberapa pertandingan karaoke, Meclisandra yang memenangi Royale Voice 2024, Zainol Roslan yang merupakan finalis Bintang Irama Malaysia, dan Erman Braka serta Mayuji, yang merupakan finalis program MicOn 2020 di Astro. Dengan pengalaman dan pencapaian masing-masing, mereka kini bergabung untuk menghasilkan sebuah lagu raya yang penuh makna – Hari Kemenangan Dunia.

Semoga gandingan komposer muda Ilham Iskandar dan artis-artis baru ini mampu mencuri hati pendengar dan mendapat tempat yang sewajarnya dalam industri muzik tanah air.