LATEST

Gemilangnya Syawal: Gabungan Lima Suara Top 5 CSOIAM Persembahkan ‘Kemas Kemas Raya’ sebagai Hadiah Istimewa!

Rumah Kemas, Raya Ceria! Sudah Bersedia Menyambut Syawal atau Masih Dalam Kekalutan? Setelah mencipta nama melalui rancangan realiti nyanyian, Top 5 Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) kembali dengan kejutan terbaharu yang pasti memukau ramai! Mereka melancarkan lagu raya terbaru iaitu Kemas Kemas Raya yang menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden dalam genre pop. Lagu ini bukan sahaja menyemarakkan semangat raya, tetapi juga menawarkan perspektif segar yang berbeza daripada lagu-lagu raya yang biasa kita dengar.

Top 5 CSOIAM iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen, dan Mariam berasa sangat teruja dengan projek Kemas Kemas Raya ini. Keistimewaan lagu ini terletak pada aura yang segar, lirik yang menyentuh hati, dan muzik yang catchy, mengikuti trend muzik semasa. Disampaikan dengan penuh semangat berkelompok dan korus yang mudah diikuti, lagu ini pasti menggamit minat Gen Z yang sedang mencari kelainan.

Seiring dengan kehadiran Syawal, Kemas Kemas Raya ingin mengingatkan kita tentang pentingnya tradisi mengemas rumah sebelum menyambut hari raya. Lagu ini mengajak kita untuk merasai kemeriahan Aidilfitri bukan hanya dengan duit raya, pakaian baru, atau hidangan lazat, tetapi juga dengan suasana rumah yang teratur dan nyaman.

“Lagu raya biasanya berkisar tentang duit raya, lemang, dan bermaafan. Tapi kali ini, kami bawa sesuatu yang lebih berbeza dengan mesej yang mudah tetapi penting – iaitu mengemas rumah dulu sebelum raya,” kata Adam Stapler, komposer dan penulis lirik lagu ini.

Adam juga berkongsi pengalaman bekerjasama dengan kelima-lima Top 5 CSOIAM tersebut dalam mencipta lagu ini. “Bekerja dengan mereka sangat mudah. Mereka sudah biasa dengan disiplin semasa pertandingan, jadi setiap kali saya memberi arahan, mereka cepat tangkap. Dalam sehari sahaja, mereka sudah menghafal dan memberikan fokus penuh untuk memastikan lagu ini berjaya”, kata Adam.

Sesi rakaman lagu ini berlangsung sangat cepat, hanya mengambil masa sekitar empat jam sahaja. Zazzleen menceritakan bahawa “Setiap seorang hanya mengambil masa sekitar satu jam untuk rakam bahagian mereka. Kami dapat demo pada petang itu juga dan terus menjalani sesi rakaman pada malam yang sama. Semua orang memberikan komitmen yang terbaik!”

Walaupun proses rakaman yang singkat, Adam banyak memberi bimbingan kepada mereka untuk mencapai hasil yang terbaik. Pengalaman ini sangat positif sehingga membuatkan Top 5 CSOIAM teruja untuk terus bekerjasama di masa hadapan. Mariam berkata, “Adam banyak memberi panduan dan idea kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik sepanjang proses rakaman.”

Tentu sahaja, lagu ini memberi cabaran tersendiri buat mereka berlima. Mereka perlu mengawal tona dan tenaga vokal, menyesuaikan melodi dengan cepat, serta menghayati emosi setiap lirik dengan sebaiknya. “Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dirasai melalui vokal yang ceria, penuh tenaga, dan meriah dalam setiap bait lirik,” kata Kai Deva.

Mereka berharap Kemas Kemas Raya dapat diterima baik oleh pendengar, lebih-lebih lagi sebagai lagu raya pertama mereka dalam industri muzik. Marygrace menyatakan, “Lagu ini wajib didengari sebab ramai yang pasti boleh relate dengan situasi perlu mengemas rumah sebelum raya. Pasang lagu ini sambil mengemas, tambah lagi mood raya!” Jimi pula menambah, “Harapan saya, lagu ini dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga, rakan-rakan, dan orang di sekeliling kita, menjadikan sambutan raya lebih bermakna.”

Jadikan Kemas Kemas Raya sebahagian daripada senarai lagu raya anda! Dengarkan sekarang di iTunes atau strim terus di Spotify dan YouTube Music. Jangan lupa untuk kongsikan lagu ini dan jadikan ia latar belakang dalam content raya anda. Ingat, raya lebih seronok dengan rumah kemas, badan sihat, dan hati yang tenang!

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).