Penyanyi popular Andi Bernadee kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan pelancaran lagu raya terbaharunya bertajuk “Inikan Hari Raya”. Ini merupakan karya sulung beliau bersama Universal Music Malaysia dan juga lagu Hari Raya pertama yang dinyanyikan secara solo.
Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, lagu ini dijangka memberikan kelainan serta menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri dengan melodi yang segar dan irama yang rancak. Lagu ini dicipta oleh Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K, manakala liriknya turut mendapat sentuhan Andi sendiri bersama ketiga-tiga komposer berbakat tersebut.
Menurut Andi, proses rakaman lagu ini dilakukan dalam dua sesi bagi memastikan hasil yang terbaik. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk mendapatkan rasa dan emosi yang tepat sebelum berbincang lanjut bersama komposer mengenai susunan muzik, adunan serta kesesuaian lirik. Selepas segala keputusan dimuktamadkan, sesi rakaman kedua dijalankan untuk menghasilkan versi akhir lagu ini.

“Saya mahu semua pendengar bukan sahaja menikmati melodi lagu ini tetapi juga menghayati mesej yang disampaikan. Selain menceriakan suasana Hari Raya, lagu ini juga mengandungi unsur nasihat yang menggambarkan perjalanan sebuah keluarga pulang ke kampung serta pelbagai kisah yang berlaku dalam persiapan dan sambutan Aidilfitri,” ujar Andi.
Mengulas mengenai pengalaman bekerja dengan barisan komposer berbakat, Andi menyatakan bahawa beliau sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa sahaja. Baginya, kerjasama yang baik, pertukaran idea dan komunikasi yang lancar akan menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bermakna.
Dengan pelancaran rasmi lagu “Inikan Hari Raya” pada 28 Februari 2025, para peminat boleh menikmatinya di semua platform digital. Andi berharap lagu ini akan membawa keceriaan kepada semua pendengar serta menjadi sebahagian daripada memori indah Aidilfitri tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar dan menghayati lagu ini bagi menambah kemeriahan sambutan Hari Raya anda!