Satria Bangkit! Peminat Ejen Ali kini boleh merasai debaran ancaman baharu Neonimus dengan pelancaran Trailer Rasmi #1 Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) di YouTube dan platform media sosial Ejen Ali pada 25 Mac, jam 3.00 petang! Sekuel yang dinanti-nantikan ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada Mei 2025 bersiap sedia untuk misi penuh aksi, visual epik, dan kisah yang menyentuh emosi!
Trailer ini memberi gambaran awal tentang perubahan besar di Cyberaya, di mana Ali bakal diuji pada tahap maksimum. Dengan ancaman Neonimus, seorang penggodam misteri yang mahu mencetuskan kekacauan, Ali perlu menguasai sut SATRIA untuk mempertahankan kota futuristik ini. Pada masa yang sama, persahabatannya dengan Alicia turut berubah apabila dia kini menjadi pemakai IRIS baharu. Kekacauan semakin membara apabila bekas Ejen MATA, Rizwan, bekerjasama dengan Dos dan Trez untuk bertemu Ali mencetuskan persoalan besar mengenai niat sebenar mereka. Sementara itu, agensi MATA melantik Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso) sebagai Ketua Teras baharu, bersama Ejen Dayang (Tekno) dan Ejen Ganz (Kombat) untuk mempertahankan Cyberaya. Namun, tanpa pengetahuan Ali, perubahan radikal dalam organisasi ini membuka ruang kepada Neonimus untuk memerangkap Ali dan MATA.
Dikuasakan dengan aksi berintensiti tinggi dan elemen futuristik teknologi MATA, filem ini turut menyelami emosi mendalam dalam perjalanan Ali sebagai ejen muda. Treler ini juga disempurnakan dengan muzik epik daripada lagu tema rasmi, “Hanya Kamu” oleh Dato’ M. Nasir, mencipta getaran luar biasa yang diakui sendiri oleh para peminat! Sejurus dilancarkan, trailer berdurasi 1 minit 23 saat ini mencetuskan fenomena digital dengan mencatatkan 300,000 tontonan di YouTube dan 1.3 juta tontonan di TikTok dalam kurang 24 jam. Peminat dari Malaysia, Indonesia, dan luar negara membanjiri ruangan komen dengan keterujaan luar biasa, termasuk: “Bila nak keluar di Indonesia?” dan “Tak sabar nak tengok Ali dan Cyberaya di layar besar!”
Sebagai sekuel kepada Ejen Ali The Movie (2019), yang sebelum ini menjadi antara animasi tempatan paling popular, EATM2 menjanjikan pertaruhan lebih besar, ancaman lebih bahaya, dan misi lebih mencabar. Diterbitkan oleh WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios dan Komet Productions, fenomena Ejen Ali terus membara, malah lebih 50,000 penonton memenuhi pawagam sewaktu filem pertama ditayangkan semula pada Februari 2025.

Usamah Zaid Yasin, pengarah filem ini, turut berkongsi keterujaannya: “Sejak kami mula berkongsi perkembangan EATM2 tahun lepas, banyak teori dan spekulasi peminat tentang identiti Neonimus muncul. Kami harap filem ini mampu memberi kepuasan tinggi dengan lebih banyak kejutan, humor, dan momen menyentuh hati dalam evolusi Ali ke tahap terbaiknya.”
Powered by Tenaga Nasional, jangan lepaskan peluang untuk menonton Treler #1 ini! Kongsi keterujaan anda dengan tanda pagar #EjenAliTheMovie2 dan ikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi:
YouTube: www.youtube.com/ejenali
TikTok: www.tiktok.com/@officialejenali
Facebook: www.facebook.com/ejenali
Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
Twitter: www.twitter.com/ejen_ali
Bersedia, Ejens! Misi diteruskan!