Jalinan Erat Tourism Selangor dan Media, Dorong Kejayaan Tahun Melawat Selangor 2025

Sebagai agensi rasmi promosi pelancongan Negeri Selangor, Tourism Selangor baru-baru ini menganjurkan Majlis Hi-Tea Bersama Media di Secret Garden, salah satu tarikan terbaru di Pusat Membeli-Belah 1 Utama. Acara ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dengan media dari pelbagai platform, termasuk media cetak, elektronik, dan digital, yang telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan Selangor.

Majlis ini turut menjadi tanda penghargaan kepada pengamal media atas sumbangan mereka selama lebih dua dekad dalam mengangkat nama Selangor sebagai destinasi pelancongan unggul. Sebagai penaja lokasi, Pusat Membeli-Belah 1 Utama diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan unik dengan pelbagai tarikan menarik seperti Secret Garden, Windlab, Flowrider, Treetop, dan banyak lagi.

Dalam majlis ini, Tourism Selangor turut melancarkan Kempen Akses Media, satu inisiatif khas yang memberikan peluang eksklusif kepada pengamal media untuk menerokai keindahan dan keunikan destinasi pelancongan di sembilan daerah Selangor. Kempen ini melibatkan lawatan khas atau fam trip ke lokasi-lokasi baharu dan kurang dikenali, dengan tujuan membantu media menghasilkan liputan yang lebih menarik dan mendalam.

“Kami yakin hubungan erat dengan pengamal media adalah kunci utama kejayaan kempen Tahun Melawat Selangor 2025. Melalui Kempen Akses Media ini, kami ingin membuka ruang kepada media untuk berkongsi pengalaman tentang pelbagai daya tarikan Negeri Selangor,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor turut mengumumkan penganjuran Visit Selangor Festival & Konsert Tahun Melawat Selangor 2025. Acara ini akan diadakan dari 20 hingga 22 Disember 2024 di Setia City Park, Setia Alam.

Festival bertemakan Food, Leisure, and Music ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Fun Walk, Festival Makanan, Pameran Pelancongan, kawasan OOTD, serta inisiatif Tabung Khas Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir. Kemuncak acara ialah Konsert dan Pelancaran Rasmi Tahun Melawat Selangor 2025 pada 21 Disember 2024, yang bakal menampilkan artis-artis ternama tempatan. Tourism Selangor optimis festival ini mampu menarik 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Tahun Melawat Selangor 2025 bakal mengukuhkan lagi kedudukan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia, dengan gabungan warisan budaya, keindahan alam semula jadi, dan daya tarikan pelancongan urban. Tourism Selangor yakin bahawa hubungan erat bersama media akan terus menjadi pemangkin kejayaan kempen ini, sekaligus memberi impak besar kepada industri pelancongan negeri.