Jobranko dan Yonnyboii mencipta momen istimewa bersama peminat bertuah menerusi acara ‘Sentuhan Nadi’.

jobranko

Selepas kerjasama menerusi lagu Nadi yang mendapat sambutan hangat, pemain gitar legenda Jobranko dan penyanyi serta komposer berbakat Yonnyboii mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat di acara Sentuhan Nadi. Acara ini berlangsung di lokasi ikonik Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, di mana 20 peminat bertuah berpeluang meluangkan masa bersama mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang.

Sentuhan Nadi dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat dan penyokong yang setia mengikuti perjalanan karier muzik Jobranko dan Yonnyboii. 20 peminat bertuah ini dipilih daripada peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan dari 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu. Peserta peraduan perlu memuat naik cover terbaik Nadi dengan versi mereka sendiri di media sosial dan meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.

jobranko

Kemuncak acara ini adalah pengumuman pemenang yang bertuah membawa pulang sebuah gitar istimewa yang ditandatangani oleh Jobranko dan Yonnyboii. Gitar ini ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA. Momen ini menjadi sangat bermakna apabila hadiah tersebut disampaikan sendiri oleh idola mereka.

Sentuhan Nadi juga menjadi detik manis buat Jobranko dan Yonnyboii untuk mendekati peminat setia mereka. Jika selama ini mereka hanya mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan ini memberikan peluang keemasan untuk berkongsi rasa dan berinteraksi secara lebih intim. Peminat juga berpeluang untuk merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan dan menimba ilmu daripada mereka.

Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan eksklusif daripada Jobranko, Yonnyboii, dan penyanyi berbakat Asyraf Nasir. Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya Salahku, berduet dengan Asyraf menerusi lagu Tak Sangka, dan berpadu tenaga bersama Jobranko dan kugirannya untuk lagu Nadi. Kombinasi orang lama dan artis muda ini memberikan satu persembahan yang luar biasa.

jobranko

Lagu Nadi yang dilancarkan pada hujung Jun lalu merupakan hasil kolaborasi antara Yonnyboii dan Jobranko. Kombinasi dua generasi berbeza ini menarik perhatian ramai, mengambil kira latar belakang perbezaan usia dan genre muzik mereka. Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video (MV) rasmi Nadi di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan, manakala di platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya terus meningkat.

Yonnyboii percaya lagu Nadi yang dicipta bersama komposer Amy Bong mampu menyentuh hati ramai kerana ia tercetus daripada perasaan peribadinya sendiri. Dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single itu juga memberinya satu kelegaan.

Sentuhan Nadi bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai peminat, tetapi juga membuktikan kekuatan muzik dalam menghubungkan artis dan peminat tanpa mengira usia dan latar belakang. Ia adalah satu momen istimewa yang pastinya akan diingati oleh semua yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *