Kahar: Kapla High Council Raih RM3 Juta

Kahar

Filem Kahar: Kapla High Council mencipta kejayaan luar biasa selepas hanya tiga hari tayangan rasmi, dengan kutipan sebanyak RM3 juta di pawagam tempatan. Filem arahan Razaisyam Rashid ini telah mencuri perhatian penonton, dan kini kekal sebagai pilihan utama filem tempatan yang ditonton ramai.

Kejayaan filem ini bukan sahaja dapat dilihat dari segi kutipan, tetapi juga daripada sambutan positif yang diterima daripada penonton di media sosial. Seorang pengguna di platform X, @iammohsein, memuji filem ini dengan menyatakan, “Kahar: Kapla High Council sebenarnya adalah sebuah filem yang sangat baik. Ia mungkin salah satu filem Malaysia yang paling ‘lengkap’. Dan ini datang dari saya yang biasanya sangat tidak menyukai produksi tempatan yang tidak realistik dalam dialog mereka.” Pujian ini jelas menunjukkan bagaimana Kahar: Kapla High Council berjaya menembusi kebuntuan filem tempatan yang kadangkala dianggap kurang berkualiti oleh sesetengah penonton.

Dari sudut jalan cerita, filem ini tidak hanya mengandungi elemen aksi yang mendebarkan, tetapi juga mengangkat tema yang mendalam tentang pentingnya institusi kekeluargaan dalam pembangunan diri seseorang. Tema ini mendapat sambutan hangat, dengan ramai penonton meluahkan rasa terkesan mereka terhadap mesej yang cuba disampaikan oleh filem ini.

Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council yang juga Ketua Astro Shaw, menyatakan rasa syukur atas penerimaan yang positif dari para penonton. “Terima kasih kepada semua yang telah menonton Kahar: Kapla High Council. Kami amat bersyukur dengan respons positif yang diterima. Melihat reaksi penonton yang begitu puas hati dengan jalan cerita, kualiti produksi, dan mesej yang ingin disampaikan, kami berharap lebih ramai penonton akan memberi peluang kepada filem ini,” katanya.

Selain daripada kejayaan di pawagam, filem ini juga mendapat sokongan yang luar biasa daripada peminat melalui jelajah filem Kahar: Kapla High Council yang telah dimulakan sejak Jumaat lalu di Kedah dan Perak. Kehadiran barisan pelakon di lokasi jelajah disambut dengan penuh semangat dan sokongan padu dari penonton. “Kehadiran peminat yang begitu meriah di setiap lokasi memberi kami semangat lebih untuk terus mempromosikan filem ini,” tambah Raja Jastina.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton, siri jelajah filem ini akan diteruskan di beberapa negeri, termasuk di Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka pada 6 hingga 8 Disember, serta di Terengganu dan Pahang pada 13 hingga 15 Disember. Peminat berpeluang untuk bertemu dengan barisan pelakon dan merasai pengalaman lebih dekat dengan filem yang kini menjadi fenomena di pawagam.

Kahar: Kapla High Council mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Kahar, yang pendiam dan sering menyisihkan diri, berhadapan dengan tekanan tinggi daripada bapanya, Dato Abu Yamin, yang meletakkan harapan besar terhadapnya. Keadaan semakin rumit apabila Kahar tanpa sengaja terjerumus dalam pemilihan ketua pelajar tidak rasmi. Kemenangan Kahar di posisi tersebut menyebabkan dia terleka dengan kedudukannya, yang akhirnya memberi impak kepada hubungan keluarganya dan dirinya sendiri.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Kahar: Kapla High Council yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari portal rasmi filem ini di (http://www.highcouncil.com.my) untuk akses klip eksklusif dan gambar, serta ikuti perkembangan terkini mengenai filem ini di akaun media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan hashtag #KaharKaplaHighCouncil, #StopViolence, dan #StopBully untuk berkongsi pandangan anda tentang filem ini di media sosial.