Karnival Jom Heboh Sabah Tamatkan Edisi 2024 Dengan Gemilang!

Karnival Jom Heboh Sabah (KJH Sabah) membuktikan betapa hebatnya sambutan warga Borneo, dengan lebih 300,000 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Kota Kinabalu sepanjang tiga hari berlangsungnya acara ini, dari 27 hingga 29 Disember 2024. Sebagai lokasi terakhir edisi jelajah 2024, karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia, menjadikan ia destinasi pilihan terbaik untuk seluruh keluarga.

Kehadiran beberapa tetamu kehormat pada 28 dan 29 Disember memberikan suasana lebih istimewa kepada KJH Sabah. Antara tetamu yang hadir termasuk Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Bin Samitah, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Yang Dihormati ACP Ahmad Bin Jawila, ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan IPK Sabah, serta Yang Berbahagia Datuk Janih Bangud, Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah. Selain itu, turut mengiringi mereka ialah Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Farrah Naz Karim, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, dan Encik Azhari Muhiddin, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima.

Kemeriahan KJH Sabah turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular yang tampil di Studio Tonton Drama Sangat sepanjang karnival. Pengunjung berpeluang bergambar dan beramah mesra dengan artis kesukaan mereka seperti Khai Bahar, Reen Rahim, Imran Aqil, Rita Nadira, Nelissa Nizam, Sophia Albarakbah, Sharifah Rose, dan banyak lagi. Studio Tonton Drama Sangat juga mengejutkan pengunjung dengan menawarkan hadiah utama, sebuah Samsung Smart TV bersaiz 65” bernilai sehingga RM3,500 melalui cabutan bertuah khas.

Karnival ini juga menyajikan Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U Mobile, yang berlangsung pada 28 dan 29 November 2024. Pengunjung disajikan dengan persembahan hebat daripada penyanyi terkenal tanah air, termasuk acara istimewa pada malam kedua yang menampilkan alumni One In A Million sebagai meraikan kebangkitan program ikonik tersebut selepas 15 tahun. Pada malam pertama, konsert ini memukau pengunjung dengan persembahan Floor 88, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ara Johari, Marsha Milan, dan Khai Bahar. Manakala malam kedua menyaksikan persembahan memukau daripada Hael Husaini, Ayu Damit, Amylee Azizan, Shila Amzah, Stacy, dan Suki Low.

Kemeriahan KJH Sabah juga semakin memuncak dengan kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang dianjurkan oleh New Straits Times Press (NSTP) dan Todak. Kejohanan ini berjaya menarik lebih 200 pemain dari 32 pasukan untuk bertanding, menawarkan platform bagi para peserta untuk mempamerkan bakat mereka dalam dunia e-sukan.

Edisi jelajah KJH 2025 akan kembali tahun depan, menjanjikan lebih banyak kejutan dan keseronokan! Acara ikonik ini terus menarik lebih 300,000 pengunjung di setiap lokasi dan telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’. KJH kini menjadi acara tahunan yang wajib dihadiri, menjanjikan hiburan dan aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web www.jomheboh.com.my dan ikuti kami di media sosial rasmi di Facebook dan Instagram @jomhebohofficial. Jangan lepaskan peluang untuk meriahkan karnival ini bersama!