Musim keempat rancangan realiti nyanyian keluarga TV3, Famili Duo, melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila berjaya mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 4.3 juta penonton (sumber: AC Nielsen). Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan Famili Duo sebagai program pilihan utama rakyat Malaysia pada slot Ahad, dari jam 9 malam hingga 11 malam. Tidak hanya menghiburkan, rancangan ini terus mencuri perhatian penonton di seluruh negara.
Musim kali ini turut mencatatkan lonjakan prestasi luar biasa, dengan peningkatan rating sebanyak 71.6% berbanding musim lalu di platform Live TV dan AVOD di Tonton. Data ini membuktikan daya tarik Famili Duo bukan hanya kepada penonton TV, tetapi juga berjaya meraih perhatian di kalangan pengguna digital, selaras dengan era teknologi masa kini.
Menurut laporan Meltwater 2024, program ini turut mencipta impak besar di media sosial, mencapai jangkauan mengagumkan sebanyak 3.8 bilion. Fenomena Famili Duo sering menjadi perbualan hangat, termasuk kontroversi pendedahan pasangan Naqiu serta kehilangan duo Didi Astillah dan Thamiera.
Pada 15 Disember 2024, pentas akhir Famili Duo Musim 4 berlangsung dengan persembahan penuh magis daripada tiga pasangan akhir. Juara musim ini, Shiha Zikir dan Ieda Zikir, memukau juri dan penonton dengan kreativiti luar biasa, penghayatan mendalam, serta penguasaan pentas yang mengagumkan. Persembahan mereka membawa kemenangan, melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi kejuaraan.
Mengorbankan masa, tenaga, dan wang mereka sendiri, pasangan ini melabur RM60,000 dan menanggung kecederaan untuk menghasilkan persembahan terbaik. Antara yang paling dikenang ialah gabungan futuristik lagu Dokter Cinta dengan elemen laser dan muzik EDM, serta persembahan Mentera Semerah Padi oleh Datuk M. Nasir yang mendapat markah sempurna 10 daripada kedua-dua juri.
Sebagai naib juara, pasangan Ayie dan Salma turut memukau dengan gabungan lagu Kisah Ku Inginkan dan Haram dalam konsep Titanic, serta lagu Mentari Di Ufuk Timur dan Meniti Titian Usang yang penuh emosi dan semangat. Sementara itu, duo Tomok dan Sharul menghidupkan pentas dengan persembahan penuh elemen pesta melalui lagu Gadis Melayu, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Menggegar Dunia, dan Sang Saka Biru.
Malam kemuncak turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Mas Idayu. Sebagai kejutan kepada penonton, beliau mempersembahkan single baharunya, Harum Mekar Di Hati, sebagai penutup acara.
Carta Markah Akhir Famili Duo Musim 4:
- Shiha Zikir & Ieda Zikir: 82.9%
- Ayie Elham & Salma Asis: 79.5%
- Tomok & Sharul Kamal: 62.6%
Famili Duo Musim 4 dibawakan khas oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama, dengan Marigold HL sebagai rakan penaja. Turut menyokong rancangan ini ialah OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai rancangan TV3, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, dan Twitter melalui @TV3Malaysia, serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.