Kemeriahan FFM33 Membuktikan Perkembangan Pesat Filem Malaysia

FFM33

Lebih daripada 100 filem yang layak bertanding di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) kali ini menjadi bukti kukuh kepada kemajuan pesat industri perfileman negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Berikutan itu, FFM33 bukan sekadar meraikan karya seni dan kreativiti dalam dunia perfileman tempatan, tetapi juga bertujuan memperkukuh sumbangan industri filem terhadap kemajuan sosioekonomi Malaysia.

Pada 7 Disember 2024, Auditorium Seri Angkasa di Kota Media akan menjadi saksi Malam Anugerah FFM33, yang bertemakan “Emas.” Tema ini melambangkan pencapaian dan perkembangan dalam sinema Malaysia, serta mencerminkan hala tuju FINAS dalam mempromosikan kandungan berkualiti untuk pasaran global, menjadikan industri filem sebagai penggerak utama ekonomi kreatif dan budaya negara.

Sebanyak 30 kategori anugerah akan dipertandingkan dalam FFM33, termasuklah kembalinya Anugerah Filem Dokumentari Terbaik.

FFM ialah festival filem berprestij di peringkat nasional yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui FINAS, bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dalam penghasilan filem dan bakat kreatif pada tahun semasa.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan sekali lagi menjadi rakan strategik dan penyiar rasmi untuk malam anugerah ini.

FINAS juga mengundang penyertaan dan penajaan daripada pelabur, syarikat produksi, syarikat korporat, syarikat telekomunikasi (telco), dan lain-lain untuk turut serta dalam festival ini.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi FFM33 di https://ffm.finas.my atau dengan menghubungi Noorzillawati Yahya (penyertaan) di penyertaanffm33@finas.my atau 03-41041354, serta YM Ts. Raja Mohammad `Adhzim Raja Ahmad (penajaan) di penajaanffm@finas.my atau 03-41010471.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, serta ahli-ahli perbadanan FINAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *