Kerjasama ini merupakan batu loncatan dalam usaha memperkukuhkan pembangunan bakat digital negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi digital dan keusahawanan.
MoU ini akan merangkumi pelbagai inisiatif kolaboratif yang dirancang untuk memberikan manfaat besar kepada pelajar, pensyarah, dan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk Program Latihan dan Kursus, Latihan ‘Reskilling dan Upskilling’, Program Pendidikan dan Pengiktirafan Profesional, Perkongsian Pengetahuan dan Kepakaran, Penerokaan Peluang Teknologi Baharu, Inisiatif GIG ‘Digital Freelance’ dan ‘Global Outsourcing Talent’, dan Program e Usahawan.
Menerusi kerjasama ini juga MDEC dan KPT telah melancarkan ‘Premier Digital Tech Institution (PDTI) Tech Club’ yang menumpukan kepada peningkatan kemahiran para pelajar. Bagi tahun 2024, ‘PDTI Tech Club’ menyasarkan seramai 5,000 pelajar yang akan menerima manfaat dari segi pengalaman praktikal, kemahiran teknologi terkini
dan pembelajaran daripada pakar industri seperti ‘Amazon Web Services (AWS)’ dan ‘International Business Machines Corporation (IBM) SkillBuild’.
Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC berkata, “MDEC, sebagai agensi utama dalam mencorakkan transformasi digital negara telah bekerjasama dengan KPT sejak 2017 dan kerjasama ini juga telah menjurus kepada pembukaan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di Malaysia, iaitu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain Kerjasama dengan UTM, MDEC juga menjadi Penasihat Industri kepada Politeknik dan Kolej Komuniti. Kerjasama ini adalah cerminan MDEC dalam usaha untuk membantu KPT melahirkan pakar-pakar teknologi digital dan secara tidak langsung ia selari dengan inisiatif strategik negara Malaysia Digital (MD) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.”
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman yang telah berlangsung di Nexus Ballroom 3, Bangsar South ini telah ditandatangani oleh Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dan YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi
dan disaksikan oleh YBhg Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan YBrs. Tuan Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital. Turut YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC.
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)