Kiki Fateeha Raih Gelaran Juara The Chosen One 2024!

Program nyanyian realiti yang dinanti-nantikan, The Chosen One 2024, akhirnya melabuhkan tirainya pada Jumaat lepas dengan menyaksikan Kiki Fateeha dinobatkan sebagai juara musim kedua. Bermula pada 20 September, program ini telah menemui penonton setianya setiap hari Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan turut disiarkan serentak di Astro Ria (saluran 104).

16 peserta yang berusia antara 11 hingga 17 tahun, mewakili seluruh Malaysia, bersaing bagi merebut gelaran juara yang membawa pulang wang tunai RM 30,000, trofi, dan peluang merakamkan lagu terbitan Rocketfuel Entertainment. Dalam Konsert Akhir yang mendebarkan, empat finalis yang terpilih untuk berentap adalah Akhil Mikhail (11 tahun, Johor), Kiki Fateeha (13 tahun, Sabah), Azry Sabri (15 tahun, Sabah), dan Atikah Rose (17 tahun, Sabah).

Kiki Fateeha memukau para juri tetap dan jemputan dengan dua persembahan luar biasa yang menyatukan teknik vokal dan emosi yang mendalam. Pada Round 1, Kiki bergandingan dengan Aepul Roza membawakan lagu “Butter” (BTS) dan “Jangan Kau Mimpi” (Siti Sarah). Di Round 2, Kiki membawakan lagu “Kau Kekasihku” (Dato’ Sri Siti Nurhaliza) dengan penuh penghayatan, meneguhkan kedudukannya sebagai pemenang. Kiki Fateeha turut menerima trofi kemenangan serta RM 30,000 sebagai juara.

Tempat kedua diraih oleh Akhil Mikhail, diikuti oleh Atikah Rose yang memperoleh tempat ketiga, manakala Azry Sabri menduduki tempat keempat. Akhil Mikhail juga mendapat Anugerah ‘Persembahan Terbaik’ yang dinilai berdasarkan 30% undian penonton dan 70% daripada pihak juri. Sebagai penghargaan, Akhil membawa pulang wang tunai RM 5,000. Manakala Aepul Roza, yang merupakan coach Kiki, turut diiktiraf dengan Anugerah ‘Coach Terbaik’, menerima RM 10,000 sebagai hadiah.

Kiki Fateeha

Selain persembahan para finalis, Konsert Akhir turut menampilkan penyanyi popular Ziana Zain dan Ajai sebagai juri jemputan, menambah kemeriahan acara tersebut. Kiki Fateeha kini bakal melangkah lebih jauh dalam kerjaya seni dengan lagu terbitan Rocketfuel Entertainment.

Penonton yang ingin menikmati episod-episod The Chosen One 2024 menerusi On Demand, Astro GO, dan sooka. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada bakat muda untuk menyerlah, tetapi juga memperlihatkan perjalanan penuh emosi dan cabaran yang ditempuhi setiap peserta dalam merebut impian mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *