Astro dengan bangganya mengumumkan kembalinya program realiti ikonik, ‘Kilauan Emas 2024’, yang bakal menyinari layar kaca bermula 14 September 2024.
Program ini memberikan peluang kepada generasi X Malaysia yang berusia 45 tahun ke atas untuk bersinar di pentas nyanyian. Setelah hampir tujuh tahun menyepi, Program ini kembali dengan tema ‘Otai Kembali Berbisa’, menawarkan platform untuk bakat-bakat terpendam tempatan mempamerkan kehebatan mereka dalam dunia muzik.
Musim terbaharu ini, yang akan disiarkan setiap Sabtu pada jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105), serta boleh ditonton menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka, menampilkan 12 peserta yang telah terpilih melalui sesi uji bakat di SACC Mall, Shah Alam pada 3 & 4 Ogos. Barisan peserta kali ini bukan sahaja memiliki bakat nyanyian yang mengagumkan, tetapi juga membawa latar belakang dan pencapaian unik mereka yang menambah warna-warni dalam konsert utama ‘Kilauan Emas 2024’.
Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, melahirkan keterujaannya, “Kami amat gembira dapat membawa kembali Program ini ke Astro. Kami sedar terdapat ramai individu berbakat berusia 45 tahun ke atas di Malaysia yang memerlukan platform untuk menunjukkan bakat mereka. Program ini memberi ruang kepada mereka untuk bersinar dan mempamerkan kehebatan masing-masing. Dengan barisan peserta yang pelbagai latar belakang, dari seniman jalanan hingga bekas anggota tentera, kami berharap mereka dapat membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus mengejar impian dan berprestasi tinggi.”
Musim ini, Program ini akan dihoskan oleh Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara utama, dengan Joey Daud akan memeriahkan bahagian belakang pentas dan diari program. Bangku juri kali ini menampilkan nama-nama besar seperti Erra Fazira dan Dato’ Hattan, bersama Roy Azman yang terkenal dengan gaya pelawaknya, menjanjikan satu persembahan yang penuh warna dan hiburan.
Kolaborasi terbaharu dengan Astro Gempak sebagai rakan digital, SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi, pasti akan menambah kemeriahan ‘Kilauan Emas 2024’. Bersama-sama, mereka akan memastikan program ini bukan sahaja menyajikan hiburan terbaik tetapi juga menjadi inspirasi bagi semua lapisan masyarakat untuk terus mengejar impian mereka tanpa mengira usia.
PENJURIAN & TRIVIA ‘KILAUAN EMAS 2024’
- Persembahan setiap peserta menerusi ‘Kilauan Emas 2024’ akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.
- Juara ‘Kilauan Emas’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.
- Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.
INFO SIARAN ‘KILAUAN EMAS 2024’
“Kilauan Emas 2024” akan menghiburkan penonton secara langsung dari Royal Theater Shah Alam selama lapan minggu bermula 14 September 2024. Setiap Sabtu pada jam 9 malam, saksikan program ini menerusi Astro Prima (saluran 105). Bagi mereka yang ingin menonton secara fleksibel, program ini juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, aplikasi Astro GO, dan sooka.
Menjelang acara utama, persiapan setiap peserta akan dipaparkan dalam Diari Kilauan Emas 2024 yang berdurasi 30 minit setiap Jumaat bermula 13 September 2024. Diari ini memberikan pandangan mendalam tentang persediaan peserta, latihan, dan aktiviti di belakang tabir. Sementara itu, Kapsul Kilauan Emas 2024 akan menampilkan sorotan dan perkembangan terkini dalam format 5 minit dari Selasa hingga Khamis, memberikan panduan eksklusif kepada peminat dan penonton.
Para penonton juga boleh mengikuti perjalanan peserta lebih lanjut dengan menonton Kapsul Uji Bakat Kilauan Emas 2024 yang akan disiarkan dari 27 hingga 31 Ogos, serta Profil Kilauan Emas 2024 pada 9 dan 10 September di Astro Prima (saluran 105).
Thinker Studio juga menawarkan kandungan digital tambahan seperti Inspirasi Mini Kilauan Emas, Nostalgia Kilauan Emas, dan HLive. Ini adalah peluang terbaik untuk mengimbau kembali sorotan program Kilauan Emas musim lalu dan mengikuti perkembangan terbaru peserta musim ini, memastikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam dan menarik untuk semua peminat setia.