Dua ‘label’ berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan! Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia dijangka membawa revolusi dalam landskap muzik tempatan dan bakal membuka peluang baharu untuk artis-artis tempatan untuk meluaskan pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau dan global.
Kerjasama antara Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, bergabung tenaga dengan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia yang tidak asing lagi dengan rangkaian artis ternama, meletakkan satu anjakan paradigma bagi memperkenalkan perubahan yang baharu dalam industri muzik tempatan bagi memenuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman yang berbeza.
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, pihaknya perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu. “Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan. Ia juga merupakan satu langkah yang penting dalam mengembangkan lagi industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya yang kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam industri muzik”.
Tambah Kim Lim lagi, “Bagi kami, tidak semestinya mengenai dari mana asal artis tersebut. Yang lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita cuba bina bersama.”
Kim Lim berpendapat, kerjasama kedua pihak adalah tepat selain menyifatkan kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini. “Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran masa kini. Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama itu termasuk Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo. “Ini adalah antara beberapa senarai artis yang telah dan akan bekerja rapat bersama dengan Alternate Records. Dan kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” tambah Kim Lim.
Puan Shahila Shah Harun, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, berkongsikan keterujaan ketika mengumumkan kerjasama bersama Universal Music Malaysia ini, “Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music ini adalah satu langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu menembusi pasaran muzik.”
Tambah Puan Shahila Shah lagi, “Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis yang berbakat dan seharusnya kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada artis sedia ada tetapi juga membuka pintu kepada bakat-bakat baru yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka. Selain itu, usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang lebih berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.”
Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Semangat kolaborasi dan pertukaran idea ini memberikan sinergi yang unik, menjana keharmonian yang membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang dan menjadi terkenal di peringkat domestik, serantau dan global.
Dalam erti kata lain, industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baru untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju serta lebih berprestij.