Konsert ‘The Journey of Sound’ Kolaborasi Penghibur Dua Negara

Dua ikon dunia hiburan dari negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, bakal mencipta sejarah dengan kolaborasi yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik di seluruh Nusantara. Dato Sri Siti Nurhaliza, Biduanita Negara, dan Judika, penyanyi berbakat dengan vokal mantap dari Indonesia, akan bergabung di pentas dalam konsert megah yang bertajuk “The Journey of Sound”.

Konsert ini akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 14 Disember 2024, dan menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Kedua-dua figura hebat ini telah berkecimpung dalam industri muzik selama lebih 20 tahun, mencipta pelbagai lagu yang mengharukan hati ramai. Siti Nurhaliza, yang telah memukau peminat dengan keindahan suara dan bakatnya, telah menjadi simbol kejayaan dalam industri muzik Malaysia. Dengan 28 tahun pengalaman, beliau telah mencatat pelbagai pencapaian dan anugerah, membawa nama Malaysia ke persada dunia. Begitu juga dengan Judika, yang bernama penuh Judika Nalon Abadi Sihotang, telah membina kerjaya muzik yang cemerlang di Indonesia selama 20 tahun. Keberaniannya dalam mengeksplorasi pelbagai genre muzik menjadikannya seorang penyanyi yang dihormati dan disukai ramai.

Penganjur konsert, Universe Gateway, dengan penuh bangga mempersembahkan kolaborasi pertama antara Siti Nurhaliza dan Judika. “Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati untuk menganjurkan The Journey of Sound, yang menyatukan dua figura hebat dunia hiburan Nusantara di pentas yang berprestij ini,” ujar Isa, Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateway. Beliau menjelaskan bahawa walaupun peminat mungkin pernah melihat kedua-dua penyanyi ini berduet sebelum ini, konsert kali ini akan menyajikan persembahan yang lebih luar biasa dan memukau. “The Journey of Sound bukan sahaja akan menjadi konsert mega, tetapi juga satu perayaan yang mengukuhkan silaturahim antara peminat muzik dari dua negara,” tambah Isa.

Konsert ini diharapkan menjadi satu penutup tahun yang gemilang bagi peminat muzik. Dengan tema “The Journey of Sound,” konsert ini merujuk kepada perjalanan seni kedua-dua penyanyi yang telah mengalami pelbagai liku-liku dalam karier mereka. Di pentas ini, penonton akan disajikan dengan persembahan yang menggambarkan warna-warni perjalanan seni mereka, dengan muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika di persada muzik.

Judika, dalam satu kenyataan, melahirkan rasa teruja dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza. “Tiada alasan untuk saya menolak peluang ini. Berkolaborasi dengan Dato Sri Siti Nurhaliza dalam konsert ini adalah satu penghormatan besar bagi saya. Saya berjanji kepada peminat bahawa anda akan menikmati pengalaman luar biasa di The Journey of Sound. Ia bukan hanya tentang kami, tetapi juga tentang bagaimana keseluruhan produksi konsert ini akan menyajikan sesuatu yang spektakular untuk ditonton,” kata Judika penuh semangat.

Bagi para peminat yang ingin menyaksikan konsert ini secara langsung, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket. Harga tiket dibuka dari RM 199 untuk kategori CAT 5, RM 299 untuk CAT 4, RM 399 untuk CAT 3 LOWER dan UPPER, dan seterusnya sehingga RM 1,299 untuk kategori SUPER VIP. Terdapat juga kategori premium seperti VIP ROYAL BOX dan ROCK ZONE yang menawarkan pengalaman menonton yang lebih eksklusif.

Konsert The Journey of Sound

Penjualan tiket akan dibuka mulai 12 Oktober 2024, dengan pembelian EARLY BIRD berlangsung dari minggu pertama hingga ketiga. Ini memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan tiket pada harga istimewa. Semua kategori tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web TICKET2U.COM.MY.

Konsert “The Journey of Sound” bukan sahaja satu acara muzik tetapi juga merupakan simbol persahabatan antara dua negara yang berkongsi budaya dan seni yang kaya. Jadi, untuk semua peminat Siti Nurhaliza dan Judika, jangan terlepas untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman luar biasa ini yang pasti akan menjadi kenangan indah dan momen bersejarah dalam dunia hiburan Nusantara!

INFORMASI

ACARA: THE JOURNEY OF SOUND

ARTIS: DATO SRI SITI NURHALIZA & JUDIKA

LOKASI: STADIUM MERDEKA

TARIKH: 14 DISEMBER 2024

MASA: 8 MALAM

PENGANJUR: UNIVERSE GATEAWAY

HARGA TIKET: RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP)

PEMBELIAN: TICKET2U.COM.MY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *