Koleksi 9KJ Trishya&Co Tampilkan Rekaan Emas Unik dan Elegan

Datin Dr. Raskidah Ali selaku pengasas jenama barang kemas Trishya&Co bersama Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, mempunyai visi besar untuk mencapai jualan sebanyak RM10 juta menjelang akhir tahun 2024 melalui pelancaran koleksi terbaru mereka, ‘9KJ’ (9 Karat Jewellery). Beliau percaya bahawa dengan inovasi dan kualiti yang ditawarkan dalam koleksi ini, mereka mampu memikat hati pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat dan mengukuhkan kedudukan jenama di pasaran.

“Sejak koleksi 9KJ dilancarkan, kami telah menerima sambutan yang sangat positif. Bahkan, sebelum majlis pelancaran rasmi malam ini, jualan kami telah mencecah RM1.3 juta,” ujar Dr. Raskidah, yang mesra dikenali sebagai Datin Ras, dalam acara pelancaran eksklusif koleksi ‘9KJ’ di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Majlis tersebut diadakan dalam suasana santai namun penuh gaya.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, Pengasas Bersama Nayli Batrishya Norbik, serta Ketua Pegawai Operasi, Dato Dr. Norbik Bashah Idris. Mereka bersama-sama meraikan ejen dan pelanggan setia jenama ini dengan pemberian anugerah seperti ‘Best Customer of the Year’, ‘Best Dress Lady’, ‘Best Dress Couple’, dan ‘Pelanggan Paling Kecil’. Acara ini juga menyaksikan penghargaan diberikan kepada pelanggan yang telah memberikan sokongan luar biasa kepada jenama ini.

Menurut Dr. Raskidah, idea untuk koleksi ‘9KJ’ muncul selepas beliau melakukan perjalanan ke Turki dan London. Di sana, beliau terinspirasi dengan gaya wanita yang menghias diri dengan barang kemas 9 karat yang mempunyai kandungan emas sebanyak 0.9%.

“Walaupun emas tulen seperti 999 atau 916 adalah pilihan yang baik untuk pelaburan, emas 9 karat lebih sesuai untuk penggunaan harian. Ia mempunyai reka bentuk yang unik dan elegan, serta boleh ditempah khas mengikut citarasa sendiri,” jelas Datin Ras sambil menunjukkan salah satu rekaan gelang tangan yang bersambung dengan cincin, yang telah menerima 33 tempahan dalam masa hanya tiga hari.

Beliau juga menambah bahawa emas 9 karat adalah pilihan ideal untuk perhiasan harian dan majlis-majlis tertentu, manakala emas 999 atau 916 lebih sesuai untuk tujuan pelaburan.

“Jika anda mahu melabur, emas 999 atau 916 adalah pilihan terbaik. Namun, emas 9K juga mempunyai kelebihan kerana ia boleh digadai di ArRahnu dan ditukar dengan barang lain mengikut nilainya,” tambah Dr. Raskidah.

Hadir sama di majlis tersebut adalah selebriti terkenal Datin Maria Arshad dan bekas penyanyi realiti AF5, Syafiq Adri Fitri, yang memeriahkan acara dengan persembahan lagu ‘Keabadian Cinta’. Suasana malam itu bertambah meriah dengan persembahan oleh penyanyi Haqiem Rusli, yang telah dilantik sebagai Duta JOM (Jewels of Malaysia).

Tema majlis ‘Malam Penghargaan dan Pelancaran 9KJ’ adalah ‘Emas/Hitam atau Hitam/Perak’. Para tetamu dihiburkan dengan pertunjukan koleksi emas 9KJ sebelum majlis diakhiri dengan penghargaan kepada ejen jualan dan pelanggan, serta cabutan bertuah yang menarik.

Untuk perancangan masa hadapan, Dr. Raskidah menyimpan hasrat untuk mengembangkan francais Trishya&Co ke seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau juga bercadang untuk bekerjasama dengan pereka muda yang berbakat dalam mencipta barang kemas yang mencerminkan warisan dan budaya Malaysia, dengan acara tersebut dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini. Rancangan ini diharap dapat membuka peluang baru dan mengukuhkan lagi kedudukan Trishya&Co dalam industri barang kemas tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *