Kota Kinabalu Jadi Pentas Eksklusif: Kotak & Ello Satukan Dua Dekad Muzik Dalam Satu Malam Bersejarah!
Untuk pertama kalinya, dua ikon muzik dari Indonesia Kotak dan Ello bakal bergabung di atas satu pentas di Kota Kinabalu, Sabah menerusi Konsert 2 Dekade Kotak X Ello Live in Malaysia. Konsert eksklusif ini bakal berlangsung pada Sabtu, 14 Jun 2025 jam 8 malam dan menjanjikan malam penuh nostalgia serta ledakan muzik berkualiti.
Acara istimewa ini dianjurkan oleh NS Show Connects Sdn Bhd dengan kerjasama ITCC Penampang, bersempena sambutan 20 tahun perjalanan seni dua nama besar ini dalam industri muzik serantau. Kota Kinabalu dipilih sebagai satu-satunya lokasi konsert di luar Indonesia satu penghormatan buat para peminat muzik di Malaysia.
“Konsert ini adalah simbol penghargaan terhadap karier cemerlang Kotak dan Ello. Sabah dipilih kerana keunikan sambutan peminat di sini serta kehangatan komuniti muziknya,” ujar Alfian Basir, wakil NS Show Connects Sdn Bhd.

Mewakili Kotak, Tantri turut meluahkan keterujaannya: “Kami sangat tak sabar untuk bertemu langsung dengan para peminat di Sabah. Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tapi detik bersejarah buat kami dan Ello untuk berkongsi pentas yang sama.”
Kotak, yang dianggotai oleh Tantri (vokalis), Chua (bassist), dan Cella (gitaris), merupakan antara kumpulan rock paling berpengaruh di Indonesia. Sepanjang dua dekad berkarya, mereka telah menghasilkan pelbagai album hit dan meraih pengiktirafan tempatan serta antarabangsa.
Sementara itu, Marcello Tahitoe atau Ello, bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi solo berbakat dengan katalog album yang mengesankan, tetapi kini juga merupakan salah seorang vokalis utama kumpulan legenda Dewa 19. Beliau juga telah menerima pelbagai Anugerah Muzik Indonesia sepanjang kerjayanya.
Tiket mula dijual Jumaat, 11 April 2025, jam 11 pagi melalui laman web rasmi Ticket2U di www.ticket2u.com.my.