Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris bakal menggegarkan Summit USJ dengan sebuah konsert istimewa sempena Hari Raya, yang diadakan secara percuma untuk semua pengunjung. Bertempat di pusat beli-belah terkemuka itu pada 26 April 2025 (Sabtu), acara yang dinamakan KONSERT EH RAYA 2025 akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam, menampilkan gabungan elemen hiburan, seni warisan dan keterlibatan komuniti dalam suasana sambutan Aidilfitri yang unik dan berwarna-warni.
Konsert ini membawa konsep rumah terbuka Hari Raya yang diserikan dengan sketsa, nyanyian dan tarian, diketuai oleh Noraniza sendiri sebagai “Che Ani”, di samping artis jemputan seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah. Lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) bakal mempersembahkan lagu-lagu raya ikonik termasuk Rewang Raya dan Halal Bihalal, menjadikan persembahan ini sebagai pengalaman raya yang penuh nostalgia dan kehangatan budaya.
Tidak hanya sekadar konsert, acara ini turut memperkenalkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif, serta pameran warisan seperti Rewang Raya, Malam 7 Likur dan Pagi 1 Syawal. Ia turut menampilkan perarakan makanan tradisional Bugis, memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih dekat dengan kekayaan seni tempatan.
Dalam kenyataan, Noraniza meluahkan rasa terujanya menjayakan konsert ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia bersama NIPV Management. Menurutnya, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk memperkenalkan semula muzik etnik kreatif kepada generasi baru. Beliau percaya seni tradisional harus terus diberi ruang dalam era moden agar ia kekal relevan dan dihargai.
KONSERT EH RAYA 2025 turut mendapat kerjasama dari Summit USJ, Tourism Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka serta pelbagai entiti seni dan kebudayaan. Majlis pelancaran rasmi pula akan disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman AlHaj, selaku Penaung NIDA.