MND Sport & Event Sdn Bhd terus melakar sejarah dalam industri hiburan dengan jenama Jiwa Kacau yang semakin kukuh. Komitmen mereka untuk membawa pengalaman muzik berkualiti tidak pernah luntur, malah terus diperkukuhkan demi memenuhi selera peminat yang setia sejak awal. Penganjuran demi penganjuran telah membuktikan bahawa Jiwa Kacau bukan sekadar sebuah konsert, tetapi juga sebuah fenomena yang menyatukan peminat muzik dari pelbagai latar belakang.
Bersiap sedialah untuk menyaksikan Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game, sebuah festival muzik berskala besar yang bakal meraikan keunikan dan kekuatan muzik tanah air serta Nusantara. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan menjanjikan persembahan yang tidak boleh dilupakan oleh mana-mana peminat muzik sejati. Sebagai sebahagian daripada siri Jiwa Kacau, Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game bakal menghimpunkan pemuzik dan kugiran ternama yang telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri serta terus menjadi siulan peminat sepanjang zaman.
Tahun ini, MND Sport & Event Sdn Bhd membawakan lineup yang benar-benar luar biasa. Spider, kugiran legenda yang sekian lama dinantikan, akhirnya bakal membuat kemunculan pertama dalam siri Jiwa Kacau. Bersama mereka, dua kumpulan yang telah mencetuskan fenomena besar, Hujan dan Bunkface, turut hadir untuk menghangatkan suasana. Dari Indonesia pula, peminat bakal dihiburkan dengan persembahan hebat daripada Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band yang akan menambah elemen kejutan kepada acara epik ini.
Menurut Harith Daniel dari MND Sport & Event Sdn Bhd, penganjuran Konsert Jiwa Kacau setiap tahun sentiasa disertakan dengan elemen kejutan yang lebih hebat dari sebelumnya. Mereka mahu memastikan setiap edisi konsert ini memberikan pengalaman yang lebih besar dan lebih bermakna kepada para penonton. “Kami sangat teruja untuk membawakan Spider buat pertama kali ke pentas Jiwa Kacau, bersama Hujan dan Bunkface yang sudah lama menjadi kegilaan peminat. Tambahan pula, semangat serumpun diteruskan dengan kehadiran Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band yang akan melengkapkan malam bersejarah ini,” katanya.
Bagi Spider, keterlibatan dalam Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game menjadi satu pengalaman bermakna kerana mereka berpeluang untuk berkongsi pentas dengan kugiran-kugiran dari generasi baharu. “Kami sangat teruja untuk bertemu dengan peminat dan memberikan persembahan terbaik. Walaupun ia dinamakan ‘The Final Game’, ini bukanlah satu pengakhiran. Sebaliknya, ia adalah persembahan yang akan mencipta kenangan luar biasa untuk semua yang hadir,” kata Tam, vokalis Spider.
Jadi anda tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini! Tiket untuk Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game kini boleh didapati di www.ilassoticket.com dengan pilihan kategori seperti GENERAL ADMISSION (RM98), CAT 1 (RM148), ROCKZONE (RM168), VIP (RM228), dan JK (RM328). Hanya 8,000 tiket sahaja tersedia, pastikan anda mendapatkannya sebelum kehabisan. Sertai ribuan peminat lain dan nikmati malam penuh aksi bersama barisan pemuzik hebat yang akan membawakan persembahan yang tidak akan dilupakan. Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game bakal menjadi acara paling epik dalam kalender muzik tahun ini!