KONSERT MEMORI MUNGKIN BERULANG SATUKAN TOMOK DAN SITI NORDIANA

Memori Mungkin Berulang

Penyanyi ikonik tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, akan berkongsi pentas buat pertama kali dalam Konsert Memori Mungkin Berulang di Zepp Kuala Lumpur. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 ini menjadi momen bersejarah apabila dua nama besar dalam industri muzik tanah air bersatu demi menghiburkan peminat setia mereka.

Tomok, yang merupakan penganjur konsert Memori Mungkin Berulang ini melalui syarikatnya, POPSICLE RECORDS, meluahkan rasa terujanya atas peluang ini. “Ini adalah kali pertama saya dan Nana (Siti Nordiana) bergabung untuk membawa kembali kenangan lagu-lagu popular kami. Ia istimewa bagi saya, lebih-lebih lagi kami berdua telah berjuang dalam industri muzik sejak di bangku sekolah.”

Dalam konsert ini, para peminat bakal disajikan dengan pelbagai kejutan, termasuk lagu-lagu hit mereka sepanjang dua dekad berkarier. Tomok dan Nana akan menyanyikan lagu-lagu ikonik yang telah meninggalkan kesan mendalam, seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih yang amat dinantikan.

memori mungkin berulang

“Selain itu, kami juga akan mempersembahkan lagu-lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik, yang akan dinyanyikan oleh saya sendiri,” tambah Tomok. “Harga tiket juga amat berpatutan, dan saya yakin semua peminat kami mampu memilikinya. Kami akan memberikan persembahan terbaik yang pasti tidak mengecewakan.”

Siti Nordiana, pula meluahkan rasa syukurnya kerana berpeluang bergandingan dengan Tomok dalam konsert ini. “Ini adalah peluang terbaik buat peminat kami yang sentiasa menyokong dari awal 2000-an hingga ke hari ini. Lagu Memori Mungkin Berulang dipilih sebagai tunjang utama konsert ini kerana ia sangat sinonim dengan kami berdua. Ia bukan sahaja popular di kalangan peminat lama, malah mendapat sambutan luar jangka dari generasi muda hari ini.”

Menurut Nana, lagu duetnya bersama Tomok telah mencetuskan fenomena baru dalam industri muzik tempatan. “Saya tidak menyangka lagu ini diterima baik oleh generasi muda, terutama generasi Z. Ini adalah peluang untuk mereka menikmati lagu-lagu ikonik kami secara langsung.”

Tiket bagi Konsert Memori Mungkin Berulang akan mula dijual pada 28 Oktober 2024. Harga tiket adalah seperti berikut:
– RM98
– RM198
– RM298
– RM398
– RM498
– VIP BOX: RM5000

Tiket boleh dibeli menerusi platform dalam talian Ticket2u. Konsert ini dijangka mencatatkan sambutan hangat, dengan peminat dari pelbagai generasi bersiap sedia untuk menikmati malam penuh nostalgia bersama Tomok dan Siti Nordiana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *