Konsert The Real Cromok Raikan 36 Tahun Kegemilangan Cromok

Cromok menyambut tahun ke-36 penubuhannya dengan penuh kejutan melalui sebuah persembahan ikonik bertajuk The Real Cromok. Konsert ini bakal menampilkan dua pemuzik terkenal, Hillary Ang dan Man Keedal, dan dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember nanti. Ini adalah kali pertama band thrash heavy metal ini bersatu semula dengan dua gitaris hebat tersebut.

Karl, salah seorang anggota terawal Cromok, menyatakan bahawa malam tersebut akan menjadi detik bersejarah, bukan hanya bagi Cromok tetapi juga untuk peminat yang telah menyokong perjalanan band ini sejak awal. Album sulung mereka, Image of Purity, yang dilancarkan pada tahun 1991, mencipta fenomena dengan lagu-lagu klasik seperti Journey dan Metallurgical.

Persembahan ini telah lama dinantikan, terutama kemunculan semula Hillary yang menggantikan Karl pada tahun 1999 dan sempat merakamkan empat album studio bersama Cromok, termasuk album Mean, Meaner, Meanest. “Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya dapat mengubati kerinduan peminat, terutamanya dengan gandingan ikonik antara Karl dan Hillary,” katanya semasa sidang media.

Selain itu, gandingan Karl dengan Man Keedal juga akan menjadi momen yang dinantikan, kerana ini adalah kali pertama mereka bermain secara langsung bersama sejak Man merakamkan gitar solo untuk lagu Misery daripada album Forever in Time pada tahun 1993.

Perjalanan band ini yang dikenali sebagai pelopor muzik fusion, menggabungkan elemen muzik tradisional dengan heavy metal hingga melahirkan istilah “thrashditional“, diteruskan oleh Shamsudin Ali atau Sam, yang memainkan alat bass. Sam adalah antara pengasas bersama, bersama Allahyarham Tarmizi Mokhtar (Miji) yang meninggal dunia pada bulan Mac lalu, serta Allahyarham Muhammad Khairuddin (Din) yang lebih awal meninggalkan band ini pada tahun 1997.

Konsert tersebut akan diiringi oleh Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar), dan Archer (keyboard). Didukung oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert ini juga mendapat penajaan daripada pelbagai jenama termasuk Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, dan Cort Guitars, serta rakan strategik seperti Mewah Event Management, Karl Legacy, dan MyArteez.

Karl menekankan bahawa konsert ini bakal membawa pelbagai kejutan. “Gandingan rare The Real Cromok adalah signifikan bagi perjalanan kami yang bermula di Australia semasa kami masih menuntut di University of Wollongong, New South Wales. Bayangkan empat pemain gitar beraksi secara serentak di satu pentas—ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman penuh kejutan,” ujarnya.

Tiket Early Bird (Berdiri) berharga RM168 akan dijual mulai jam 8 malam, 27 September, dan dibuka hingga 10 Oktober. Tiket normal bermula dari RM188 (Berdiri), serta RM288 dan RM338 (Duduk). Terdapat juga Royal Box yang ditawarkan pada harga RM888 seorang, termasuk sesi Meet & Greet dan pemberian cenderahati eksklusif, seperti baju-T khas The Real Cromok. Pembelian tiket boleh dibuat melalui laman web www.therealcromok.com atau hubungi hotline +601113297822 (WhatsApp).

Sebagai tambahan, produk eksklusif The Real Cromok seperti baju-T dan hoodie juga akan dilancarkan. Untuk pembelian, sila muat turun aplikasi MyArteez di Apple Store dan Play Store bagi memastikan anda mendapatkan produk tulen.

Konsert berdurasi dua jam ini tidak hanya akan membawa penonton menyelami perjalanan 36 tahun Cromok, tetapi juga mempersembahkan lagu-lagu baharu yang belum pernah diperdengarkan secara langsung selepas album terakhir mereka, Untitled, pada tahun 2004. “Kami telah merancang segmen khas sebagai tribute kepada Allahyarham Miji dan Din,” kata Karl, yang juga mengumumkan cabutan bertuah untuk pembeli tiket, termasuk tiga buah gitar tajaan Cort Guitars yang ditandatangani oleh empat gitaris legenda.

Acara ini terbuka kepada semua kategori tiket dan menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk dua pakej penginapan 2H/1M di Hard Rock Hotel, Penang, dan satu pakej di Hard Rock Hotel, Desaru. Seramai 15 pemegang tiket bertuah juga berpeluang menyertai sesi Meet & Greet di Studio Cromok pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *