LATEST

KRU Kembali Gegarkan Dunia Muzik Dengan Album ‘Kaset’ Selepas 7 Tahun

Selepas tujuh tahun mendiamkan diri, kumpulan pop legenda, KRU, kembali mencipta sensasi apabila melancarkan album terbaru mereka berjudul Kaset. Kembali bersatu sebagai trio ikonik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim tampil penuh semangat untuk menghadiahkan karya ini kepada para peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong mereka sejak awal perjalanan seni.

Menurut Norman, perasaan teruja sukar digambarkan, apatah lagi apabila dapat bertemu semula dengan peminat semasa acara pra-dengar lagu baru-baru ini. “Saya boleh cam wajah-wajah yang hadir sewaktu pelancaran album Canggih pada tahun 1992, dan mereka masih setia bersama kami hari ini. Album Kaset ini adalah dedikasi khas buat semua peminat yang tidak pernah berpaling,” katanya penuh terharu.

Yusry pula berkongsi tentang pengalaman unik membangunkan Kaset dalam era moden. Meskipun berdepan cabaran menyatukan jadual mereka sebagai ‘orang besar’ dalam bidang masing-masing, semangat kekeluargaan tetap mengatasi segalanya. “Semua lagu dalam album ini cukup kuat untuk dijadikan single. Setiap satu membawa elemen nostalgia yang mengimbau zaman remaja, terutamanya lagu Remaja Selamanya,” jelas Yusry.

Lebih menarik, Kaset bukan sahaja dipasarkan secara digital, tetapi juga dalam format fizikal seperti cakera padat dan Vinyl. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah KRU selama 33 tahun, mereka melancarkan album dalam bentuk Vinyl, yang boleh didapati melalui pre-order eksklusif. “Pegang album fizikal itu satu kepuasan mutlak buat kami sebagai pengkarya. Rasanya tidak lengkap jika hanya ada secara digital,” kata Edry dengan penuh bangga.

Kaset memuatkan 10 buah lagu segar termasuk Hambadansa, One More Time, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, High Maintenance, Ciptaan Sempurna dan Agung. Album ini diterbitkan menerusi kerjasama bersama Sony Music Entertainment, menandakan era baru buat KRU dalam dunia muzik moden.

Peminat boleh mendapatkan album penuh Kaset di semua platform digital bermula 25 April ini. Bagi yang inginkan sentuhan klasik, pastikan anda rebutkan edisi fizikal terhad yang akan menjadi koleksi berharga buat penggemar muzik tanah air.

Dalam perkembangan lain, KRU turut bersiap sedia menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil menerusi konsert genKRU yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 3 Mei ini. Pastinya, ini peluang emas untuk menyaksikan keajaiban KRU di pentas sekali lagi!