Suasana Aidilfitri jadi lebih bermakna apabila Kumpulan Multimedia mengajak rakyat Malaysia sama-sama menyambut kemeriahan dengan meraikan perkembangan terkini industri hiburan tanah air. Melalui jenama Multimedia Entertainment, pelbagai pengumuman menarik telah disampaikan dalam Majlis Hari Raya Multimedia 2025 yang berlangsung meriah baru-baru ini.
Antara sorotan utama:
Filem aksi ‘Legasi Bomba The Movie’ diumumkan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2025. Sarat dengan babak mencemaskan dan nilai kemanusiaan, filem ini dijangka membangkitkan semangat patriotik serta menyentuh emosi penonton dengan kisah perjuangan wira bomba.
Peminat rancangan realiti pula boleh menantikan penutup penuh gaya untuk musim ‘Melodi Kita’ – sebuah konsert busking percuma yang bakal diadakan pada 26 April 2025 di Resorts World Awana, Genting Highlands. Konsert ini menjanjikan persembahan istimewa daripada bintang-bintang popular rancangan tersebut. Masuk adalah percuma dan terbuka kepada semua!
Tidak cukup dengan itu, Multimedia turut mengumumkan dua filem supernatural baharu bakal memulakan produksi: ‘Amok Bujang Raja’ dan ‘Naga Tasik Chini’. Kedua-dua projek dijangka menjalani penggambaran pada suku ketiga 2025 dan dijangka menjadi antara karya unik yang menampilkan unsur budaya dan mistik tempatan.
Majlis sambutan Aidilfitri ini bukan sekadar pertemuan, tetapi juga satu simbolik penghargaan buat para media, rakan industri dan peminat yang terus menyokong karya tempatan. Kumpulan Multimedia menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan dan menyeru agar rakyat Malaysia terus memberikan ruang kepada hasil kerja kreatif tempatan yang semakin berkembang pesat.
Untuk terus mengikuti perkembangan hiburan dari Multimedia Entertainment, pastikan anda tidak ketinggalan mengikuti platform rasmi mereka!