Lagu “Chentaku” Nyanyian Zizan Razak dan SonaOne Raih 1 Bilion Tontonan di TikTok: Meletop Selepas 7 Tahun

Selepas tujuh tahun dikeluarkan, lagu “Chentaku” nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne, terbitan label terkemuka tanah air Rocketfuel Entertainment, telah berjaya meraih 1 bilion tontonan di TikTok. Lagu yang mendapat sentuhan Joe Flizzow ini telah menjadi trending dan tular di laman media sosial tersebut.

Menerusi perkongsian di laman Instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menambat hati peminat dari pelbagai latar belakang dan golongan, meskipun sudah beberapa tahun dilancarkan. “Walaupun dah bertahun-tahun lamanya, lagu ‘Chentaku’ masih lagi relevan dan diterima tanpa mengira umur dan golongan,” ujar Zizan.

Zizan juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menghasilkan kandungan menggunakan lagu “Chentaku” sehingga berjaya meraih 1 bilion tontonan. “Saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang buat content dengan menggunakan lagu ‘Chentaku’. Hasil daripada content-content yang dibuat tu, lagu itu berjaya mencecah 1 bilion tontonan, yang merupakan satu angka yang sangat besar,” kata Zizan penuh teruja.

Disamping itu, menerusi laman Instagram, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi potongan klip video TikTok para ‘influencer’ dan selebriti yang turut menggunakan lagu Chentaku dalam video mereka. Antara yang menggunakan lagu tersebut ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali malah Alan Walker dan ramai lagi. Dalam masa yang sama, video lirik lagu ini juga sudah menghampiri 10 juta tontonan pada saluran YouTube Rocketfuel Network selepas 7 tahun dilancarkan.

Chentaku dilancarkan pada tahun 2017 dan ianya mengisahkan seorang jejaka yang telah cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis tersebut. Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.

Lagu ini telah dicipta oleh SonaOne dan Joe Flizzow bertindak sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini pula telah ditulis sendiri oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow.

Anda boleh terus strim lagu Chentaku di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta terus menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *