“Lagu Patriotik ‘Inilah Kita’ Cerminkan Kepelbagaian Budaya Malaysia”- 2024

inilah kita

Dalam meraikan semangat kemerdekaan yang tidak pernah pudar, Rocketfuel Entertainment telah melancarkan sebuah single terbaru bertemakan patriotisme berjudul ‘Inilah Kita’. Lagu ini tidak hanya sebuah karya muzik, tetapi juga manifestasi kepada keindahan dan kekuatan perpaduan Malaysia menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia 2024.

Menggabungkan suara-suara emas daripada pelbagai bangsa, lagu ini mengetengahkan persembahan mantap oleh barisan artis terkemuka seperti Hael Husaini, Wani Kayrie, Balan Kash, Daniel Fong, Roshini Balachandran, dan Joey Leong.

Setiap bait lirik dan alunan melodi yang disampaikan membawa mesej yang mendalam tentang pentingnya kesatuan di kalangan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin mencabar ini.

Dengan tempoh masa hampir tiga minit, ‘Inilah Kita’ bukan sahaja berjaya menangkap jiwa dan semangat yang ingin disampaikan – bahawa kita semua berdiri sebagai satu bangsa yang utuh, berbeza tetapi tetap bersatu – malah ia juga berjaya membangkitkan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air di dalam sanubari setiap pendengarnya. Melalui melodi yang indah, lirik yang puitis dan penuh makna, serta gubahan muzik yang menggugah jiwa, lagu ini mampu menyentuh hati setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira usia, bangsa atau agama, sekaligus menjadi sebuah karya seni yang menyatukan dan menginspirasi.

Hasil kolaborasi antara pencipta lagu berbakat Shazee Ishak, Audi Mok, dan Balan Kash, ‘Inilah Kita’ adalah sebuah peringatan kepada semua bahawa keindahan Malaysia terletak pada kepelbagaian dan kebersamaan kita.

Lagu ini melambangkan bagaimana Rocketfuel Entertainment berhasrat menyatukan rakyat Malaysia, bukan hanya melalui muzik, tetapi melalui simbol perpaduan yang jelas dalam setiap nota dan liriknya. Lagu ini diharap menjadi lambang perpaduan nasional yang terus membara dalam sanubari setiap warga Malaysia.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Wee Sher Leen, menzahirkan harapan besar terhadap lagu ini. Beliau berkata, ‘Inilah Kita’ adalah simbol kepada kekuatan Malaysia. Ia adalah sebuah lagu yang meraikan kepelbagaian dan perpaduan dalam negara kita, mengingatkan kita semua bahawa walaupun kita berbeza dari segi budaya, bahasa, dan kepercayaan, kita tetap satu bangsa yang kuat dan bersatu. Kami berharap lagu ini dapat menyentuh hati setiap rakyat Malaysia dan menjadi sumber inspirasi untuk terus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam negara.”

Lagu ini bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga seruan untuk kita terus mempertahankan identiti kita sebagai sebuah negara yang aman, makmur, dan bersatu.” Tambah beliau, “Melodi dan lirik lagu ini dihasilkan untuk menyentuh hati dan mengingatkan kita bahawa meskipun berlainan budaya, bahasa, dan agama, kita tetap bersatu di bawah Jalur Gemilang.”

Tidak hanya sesuai untuk sambutan Hari Kemerdekaan, ‘Inilah Kita’ juga dijangka menjadi irama utama ketika Hari Malaysia tiba. Lagu ini dihasilkan dengan penuh semangat patriotisme, menyoroti betapa pentingnya kebersamaan dalam membina masa depan negara.

Di tengah-tengah pelbagai cabaran yang dihadapi oleh dunia, ‘Inilah Kita’ menjadi nyalaan api semangat yang terus berkobar, membawa mesej bahawa hanya dengan bersatu hati kita dapat mengharungi segala rintangan yang mendatang.

Rocketfuel Entertainment berharap agar ‘Inilah Kita’ menjadi anthem bagi setiap rakyat Malaysia, terutama sekali dalam sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini. Lagu ini sudah tersedia di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube, dan YouTube Music.

Selain itu, pengguna TikTok dan Instagram Reels juga digalakkan menggunakan lagu ini untuk mencipta kandungan kreatif yang mengekspresikan cinta mereka terhadap negara.

Lebih menarik lagi, video muzik eksklusif untuk ‘Inilah Kita’ akan dilancarkan pada 18 Ogos 2024, dengan tayangan perdana di program Gimme The Mic Malaysia di Astro Ria.

Video muzik ini dijangka memukau penonton dengan visual yang mengangkat semangat perpaduan dan keindahan budaya Malaysia, menjadikan ia pengalaman yang sukar dilupakan.

Marilah kita bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan semangat juang yang tinggi.  Inilah Kita’ – bukan sekadar lagu, tetapi lambang kepada semangat kesatuan dan cinta kita terhadap Malaysia. Bersama kita hayati makna sebenar perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Satu bangsa, satu negara, satu hati – inilah kita.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *