LAGU TERBARU DARI NUR FATIMA YANG BERJUDUL ‘KU CUBA’ SELEPAS 3 TAHUN

NUR FATIMA

Penyanyi bersuara merdu, Nur Fatima, kini hadir dengan single terbaru berjudul KU CUBA, meskipun sedang menetap jauh di Sydney, Australia. Single ini merupakan hasil ciptaan komposer ternama, Sharon Paul, dengan lirik oleh Shah Shamshiri, dan diedarkan oleh SoundOn.

“Saya dan suami baru saja berpindah ke Sydney dari ibu kota Australia, Canberra, awal tahun ini kerana urusan kerja suami. Di sini, saya juga aktif membuat persembahan bersama band di sekitar Australia,” kongsi Nur Fatimah Abdul Wahab, pemilik nama sebenar Nur Fatima.

Selepas hampir tiga tahun sejak melancarkan single Galeri, Nur kembali dengan karya terbaru. Apabila ditanya mengapa memerlukan waktu yang lama untuk menghasilkan single baru, Nur menjelaskan, “Sejak pandemik COVID-19, saya mengambil masa untuk mencari material yang tepat. Saya rasa genre balada lebih sesuai dengan karakter suara dan ekspresi saya.”

“Lagu ini awalnya dicadangkan untuk dua penyanyi lain dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi dengan vokal yang kuat. Namun, pihak pengurusan dan produser berpendapat lagu ini lebih sesuai dengan kelembutan suara saya. Selain itu, liriknya yang ditulis oleh sahabat baik saya, Shah, benar-benar menyentuh hati saya.”

KU CUBA menceritakan kisah seseorang yang tetap sabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan cinta. “Lagu ini menggambarkan pengorbanan dan kesetiaan dalam hubungan, di mana seseorang rela melakukan apa saja demi kebahagiaan kekasihnya,” jelas Nur.

NUR FATIMA

Dengan genre ‘power ballad’ yang menantang, lagu ini menguji kemampuan vokal Nur dengan nada tinggi dan rendah, serta memerlukan emosi yang mendalam agar nyanyiannya sampai ke hati pendengar. “Saya benar-benar mendalami liriknya sehingga produser, Sharon, berpuas hati dengan hasilnya. Saya berterima kasih kepada beliau atas bimbingan yang berharga.”

Bagi para peminat yang merindui kemunculan Nur, mereka akan disajikan dengan video muzik (MV) istimewa yang tampil dengan konsep segar dan mengikuti tren fesyen terkini. “MV kali ini menampilkan ekspresi wajah dan gaya yang mendalam, di bawah arahan pengarah muda berbakat, Khyrill,” kongsi Nur.

Nur juga berpeluang menggayakan busana rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof, dengan sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, yang semakin memperkuatkan visual MV ini.

NUR FATIMA

Walaupun sudah bertahun dalam industri, Nur mengakui cabaran tetap ada. “Untuk kekal relevan dalam industri ini sangat mencabar kerana persaingan yang kuat. Namun, saya tidak pernah berputus asa. Saya juga mulai melibatkan diri dalam kerja-kerja di belakang tabir dan memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik untuk menambah ilmu.”

Kepada pendatang baru, Nur menasihati agar mereka mengutamakan pelajaran sebelum terjun ke mana-mana bidang. “Pelajaran bukan hanya memberi ilmu, tetapi juga memupuk disiplin. Yang paling penting, sayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, dan jangan mudah berputus asa.”

Nur berharap KU CUBA mendapat sambutan hangat dari pendengar, menyentuh hati mereka yang mendengarnya, dan mengubati kerinduan para peminat.

Lagu ini boleh dimuat turun di iTunes, dijadikan nada dering panggilan, dan didengar melalui aplikasi penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, serta YouTube Music. MV single ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Nur Fatima Music di youtube.com/@nurfatimamusic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *