Legenda Jacky Cheung Kembali dalam Filem Aksi Mega “Customs Frontline” Bersama Nicholas Tse & Karena Lam – Tayangan di Malaysia Mulai 5 Julai 2024

Setelah menerima sambutan hangat dan pujian di 26th Far East Film Festival di Udine, Itali pada Mei lalu dan meledak di pawagam Hong Kong, filem Customs Frontline kini siap memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai 2024.

Customs Frontline, hasil sentuhan emas sutradara Herman Yau, bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan biasa. Filem ini mengangkat kepayahan, semangat juang, dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong dalam membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api. Filem ini jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam seperti yang dipamerkan di sini.

Menerusi Customs Frontline, yang diproduksi oleh Jason Siu, penonton akan didedahkan dengan kecekapan para anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui oleh Erica Li dan Eric Lee.

Tentu sahaja, sesebuah filem tidak akan ‘bersinar’ tanpa bintang-bintang hebat yang memukau penonton saat ditayangkan di layar lebar. Customs Frontline membariskan bintang berkaliber dengan penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat. Beliau berganding mantap bersama aktor berbakat besar, Nicholas Tse, dan turut dibarisi oleh Karena Lam, Yase Liu, dan Francis Ng sebagai penampilan khas. Filem ini dipenuhi dengan babak aksi dan klimaks tanpa henti.

Lebih menarik, Nicholas Tse, yang menjayakan karakter Chow Ching-lai, turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam filem yang digarap selama dua tahun ini. Tse, 43, menzahirkan keterujaannya dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi juga bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.

“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen. Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong. Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.

Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke-31, Nicholas Tse, mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan dalam dunia sinema Hong Kong. Filem seperti Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin, dan Raging Fire adalah antara karya yang mencerminkan semangat tersebut.

Dalam Customs Frontline, penampilan Tse yang melibatkan dua peranan – sebagai pelakon dan koreografer aksi – disifatkan sebagai kesungguhan yang luar biasa dari segi aksi dan lakonan unik yang ditonjolkan. Jacky Cheung, yang turut membintangi filem ini, menyifatkan gandingan bersama Tse dan Karena Lam sebagai sinergi yang hebat. “Saya melihat Tse dan Karena membesar dan sinergi mereka sangat menonjol bersama saya di Customs Frontline,” kata pemenang pelbagai anugerah tersebut.

Filem penuh aksi tanpa henti ini mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kastam Hong Kong, termasuk membenarkan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi penting seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong di North Point dan Ngong Shuen Chau Naval Base untuk paparan yang lebih realistik.

Customs Frontline dijadualkan memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai 2024. Saksikan bagaimana filem ini memberikan sudut pandang dan dimensi yang berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan.

Dengan aksi, lakonan, dan plot twist yang membuat anda tidak senang duduk, Customs Frontline menampilkan kembalinya Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat, kelincahan aksi Nicholas Tse, dan penampilan Karena Lam bersama barisan pelakon lain. Filem ini dijangka menjadi karya tentang pekerja barisan hadapan terhebat Hong Kong yang anda saksikan tahun ini! Jangan lupa ke pawagam berhampiran anda bermula 5 Julai 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *