Kroll bukanlah nama asing dalam industri seni suara. Suatu ketika dahulu, pemilik nama Khairul Nizam ini pernah tercalon sebagai salah satu daripada lima finalis teratas dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM 21) pada tahun 2014.
Berkat kehebatan suaranya, Khairul Nizam yang lebih popular dikenali sebagai Kroll juga telah dinobatkan sebagai juara rancangan realiti All Together Now Malaysia Musim ke-2 pada tahun lalu. Kroll juga seorang penyanyi jalanan (busker) dan artis kebudayaan yang masih aktif mempromosikan bakatnya di depan umum.
Kroll muncul dengan sebuah karya baharu berjudul ‘Lentera Cinta’ untuk para pengikut dunia muzik dan peminat suaranya. Lentera Cinta merupakan sebuah lagu ciptaan komposer ternama Sheikh Qalam bersama Saladin, dengan lirik nukilan Sheikh Qalam sendiri, yang juga bertindak sebagai penerbit lagu.
“Lagu ini mengisahkan cinta jarak jauh dan perasaan seseorang yang menunggu kekasihnya kembali ke sisi,” ujar Kroll tentang lagu baharunya ini.
“Untuk menyiapkan karya ini, proses rakaman vokal berlangsung selama satu hari. Ini diikuti dengan proses memasukkan rakaman mainan alat muzik bertali atau ‘string’ yang memakan waktu sekitar seminggu,” tambahnya lagi tentang perjalanan rakaman.
Saat ditanya tentang perkembangan terbaharunya Kroll menyatakan yang dia masih bergerak bersama kumpulannya. “Saya masih lagi dengan kumpulan kugiran Persis cuma kebetulan selepas saya menjadi juara rancangan All Together Now Malaysia musim ke-2 , saya ingin cuba mengambil peluang ini untuk bergerak solo dan harap single solo pertama saya bakal diterima dan mendapat perhatian semua,” akhiri Kroll tentang karyanya itu.
Lentera Cinta berpotensi mencuri perhatian peminat muzik Malaysia dengan berbekalkan susunan muzik dan melodi yang mantap serta suaranya yang memukau. Bakal dikeluarkan pada tarikh 17 Mei 2024, ‘Lentera Cinta’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.