Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran acara makan malam amal bertajuk ‘Night Of Love & Compassion’. Acara ini diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, terutamanya di sekitar kawasan Besut.
Malam amal ini akan menampilkan dua penyanyi lagenda tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah, yang dijanjikan akan memberikan persembahan yang penuh emosi melalui rangkaian lagu-lagu hits mereka yang masih relevan hingga ke hari ini. Suara merdu mereka pastinya akan menyentuh jiwa semua yang hadir.
Acara ‘Night Of Love & Compassion’ akan berlangsung pada 14 Disember 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini komited dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan, terutamanya dari latar belakang yang kurang beruntung.
“Setiap tahun, kami mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyokong anak-anak di sekolah sekitar Besut, khususnya di Sekolah Tengku Mahmud. Dalam dua dekad ini, kami bergantung pada sumbangan ahli-ahli persatuan yang telah bersara, dan untuk itu kami perlu mencipta modal baru. Setelah berbincang, kami sepakat untuk mengadakan acara ‘Night Of Love & Compassion’,” jelas Dato’ Muhammad Nasir.
TMESA juga berhasrat untuk meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 1000 pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah. “Program ini telah berjalan selama 16 tahun dan telah memberi sokongan kepada pelajar-pelajar yang benar-benar memerlukan. Kami melakukan temu duga sendiri untuk memastikan mereka layak. Ada pelajar yang hanya dapat makan nasi tiga kali seminggu, tetapi mereka sangat bersemangat untuk belajar. Antara mereka ada yang bercita-cita menjadi doktor, peguam, guru, dan ustaz,” tambahnya.
“Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta, yang akan digunakan untuk memperbaiki kemudahan di sekolah-sekolah ini,” katanya lagi dengan penuh harapan.
Dalam pada itu, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa teruja dapat terlibat dalam program amal ini, bertekad untuk menyumbang demi memastikan pelajar-pelajar ini tidak tercicir dalam pelajaran. “Saya bersyukur kerana bakat yang dikurniakan Tuhan dapat saya manfaatkan untuk mengumpul dana dan membantu mereka yang memerlukan, terutama pelajar-pelajar,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Hattan menyatakan komitmennya terhadap usaha amal seperti ini. “Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukanlah kali pertama saya menyertai program amal untuk membantu pelajar sekolah. Sejak awal kerjaya saya, saya berjanji untuk tidak menolak sebarang undangan dari pihak sekolah. Saya memahami kesukaran yang mereka hadapi, kerana saya juga pernah melalui zaman sukar,” katanya.
Acara ‘Night Of Love & Compassion’ ini akan menawarkan sebanyak 98 meja dengan pelbagai pilihan harga untuk memenuhi pelbagai bajet:
- Bronze: RM4,000 (20 meja)
- Silver: RM6,000 (20 meja)
- Gold: RM8,000 (16 meja)
- Diamond: RM10,000 (16 meja)
- Platinum: RM15,000 (16 meja)
Tempahan dan pembelian meja boleh dibuat dengan menghubungi nombor yang tertera:
- EN. HATTA: 018 223 9934
- EN. NIK AHMAD: 019 452 4567