MALAM GEMILANG BCL DI KONSERT FARMASI SOUNDZATION: KOLABORASI MUZIK DAN KECANTIKAN MALAYSIA-INDONESIA -2024

FARMASI

Pada 30 November 2024, Megastar Arena Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada malam yang penuh gemilang apabila tiga ikon muzik dari Indonesia dan Malaysia, Bunga Citra Lestari (BCL), Ghea Indrawari, dan Elly Mazlein, bergabung dalam Konsert FARMASI Soundzation.

Acara ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi simbolik kolaborasi antara dua industri yang berpengaruh – muzik dan kecantikan – dalam meraikan kehadiran FARMASI, sebuah jenama kosmetik antarabangsa, di pasaran Asia.

BCL, yang terkenal dengan lagu hits seperti Cinta Sejati, akan menjadi tarikan utama pada malam tersebut.

Penampilannya bakal diiringi oleh Ghea Indrawari, bintang muda Indonesia yang mencuri perhatian dengan single Jiwa Yang Bersedih, serta Elly Mazlein, penghibur serba boleh Malaysia yang bakal memeriahkan pentas sebagai pengacara dan penyanyi.

Penganjuran ini, yang dianjurkan oleh INT X Group dan disokong oleh FARMASI, dijangka membawa pengalaman luar biasa kepada para penonton, menggabungkan elemen muzik, kecantikan, dan pemerkasaan wanita dalam satu persembahan yang ikonik.

Ellie G, Pengarah Projek dan Konsert, menyifatkan Konsert FARMASI Soundzation sebagai sebuah acara yang dirancang untuk lebih daripada sekadar hiburan. “Kami ingin mempersembahkan mesej yang kuat tentang pemerkasaan wanita melalui seni muzik.

BCL, dengan kehebatan dan karisma yang dimilikinya, menjadi pilihan utama kerana beliau mewakili kekuatan wanita moden. FARMASI pula komited kepada kecantikan sejati yang bukan hanya dari luaran, tetapi juga dari dalaman, seiring dengan misi kami untuk memberi inspirasi kepada wanita di seluruh dunia,” kata Ellie.

Selain daripada penampilan ikonik BCL dan Ghea, Elly Mazlein juga dijangka menjadi daya penarik yang luar biasa dengan bakat pengacaraannya yang menghiburkan serta vokalnya yang mantap.

Malam ini dijangka akan diingati sebagai satu perayaan seni dan kecantikan yang mencipta kenangan indah buat semua yang hadir.

Pengalaman ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Man Kidal sebagai Pengarah Konsert dan Muzik, serta Jerry Hend sebagai Pengarah Kreatif, yang bakal memberikan sentuhan magis mereka pada malam tersebut.

Sebagai tambahan, acara ini juga menawarkan lebih daripada sekadar persembahan. Setiap pemegang tiket akan berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Bezza.

Tidak hanya itu, penonton juga akan menerima pelbagai hadiah eksklusif dari rangkaian produk FARMASI, menjadikan malam ini lebih istimewa. Menurut Ellie G, “Konsert ini adalah cara kami memberi penghargaan kepada para peminat yang selama ini menyokong industri hiburan.

Kami ingin pastikan setiap penonton pulang dengan hati gembira dan tangan yang penuh dengan hadiah.”

Emre Tuna, Presiden FARMASI, turut hadir pada sidang media pelancaran konsert ini di Menara Kuala Lumpur, dan meluahkan rasa bangganya terhadap kemasukan jenama FARMASI ke pasaran Asia, dengan Malaysia sebagai destinasi pertama.

“Kami percaya bahawa kehadiran FARMASI di Malaysia adalah langkah penting untuk mengukuhkan kehadiran kami di Asia. Kami berpegang kepada prinsip kecantikan yang inklusif dan relevan dengan keperluan wanita moden di sini,” kata Emre.

Tiket untuk Konsert FARMASI Soundzation kini dijual pada harga bermula RM288 hingga RM1,088. Para peminat boleh mendapatkan tiket mereka melalui www.ilassotickets.com dan mengikuti perkembangan lanjut di platform media sosial rasmi Soundzation.

Dengan gabungan unik antara bintang terkenal dan elemen kecantikan, malam ini dijangka menjadi salah satu acara paling berprestij pada tahun ini, merintis jalan untuk lebih banyak kolaborasi serupa pada masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *