Hari Malaysia adalah detik yang penuh makna dan sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pada 16 September setiap tahun, kita meraikan kemajmukan dan perpaduan yang telah mengikat kita sebagai satu bangsa. Untuk memperingati hari istimewa ini, Universal Music Malaysia (UMM) bekerjasama dengan Sunway Putra Mall, HotFM, FlyFM, dan Pop Meals untuk melancarkan acara Malaysia Kita Roadshow.
Acara ini berlangsung selama dua hari, 14 dan 15 September, dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Main Concourse, GF, Sunway Putra Mall. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung, termasuk showcase yang menampilkan lebih dari 30 artis tempatan terkemuka. Yang menariknya, penghibur-penghibur ini berasal dari label-label rakaman ternama seperti UMM, Def Jam Malaysia, Faithful Music, RUSA Music, dan Alternate Records.
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, usaha untuk menggabungkan artis dari pelbagai latar belakang dalam showcase ini adalah satu pendekatan yang unik. “Malaysia Kita Roadshow adalah gabungan hebat artis-artis dari pelbagai label yang menunjukkan kekayaan budaya dan kemajmukan Malaysia. Acara ini menjadi platform untuk meraikan Hari Malaysia dengan muzik sebagai penghubung utama kita,” ujar Kim Lim.
Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, menambah bahawa Malaysia Kita Showcase membawa makna yang mendalam untuk industri hiburan tempatan. “Kami sangat bersemangat untuk berkongsi muzik kami dengan orang ramai sempena Hari Malaysia. Showcase ini adalah kesempatan untuk menyatukan dan meraikan cinta kami terhadap muzik dengan barisan artis hebat kami,” kata Hermond Cheng.
Pada hari pertama, 14 September, pengunjung boleh menyaksikan persembahan dari Anna & Hanna (Universal Playground), Hariz Fayahet, Puteri Khareeza (Alternate Records), Zel, Keka Nizam (RUSA Music), A-Jin, Madykit (Faithful Music), serta artis-artis terkenal seperti Ismail Izzani, Sophia Liana, KillaDriz, Asyraf Nasir, Yonnyboii, Lil J (Def Jam Malaysia), dan Dj Ziqq.
Hari kedua, 15 September, akan mempersembahkan Anna & Hanna (Universal Playground), Julia Duclos, Kat Roshan, Shi En, Elva, Nicole Lai, The Gadys, Nadia Rosli, dan ALVN (Universal Music Malaysia), serta Nabila Razali, HarsonBee, Ara Johari, NAKI, Mal Hamka (Faithful Music), Aqmal Ramdan, Ika Mustafa (Alternate Records), dan HarsonBee (LY Music).
Pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati persembahan hebat, tetapi juga berinteraksi secara langsung dengan artis kegemaran mereka dalam sesi ramah mesra yang berlangsung dari 6.30 petang hingga 7.30 malam sebelum showcase bermula. Ini adalah peluang keemasan untuk bergambar atau bersalaman dengan artis idola mereka.
Selain itu, terdapat juga Pertandingan Mewarna Anna & Hanna khusus untuk kanak-kanak pada 14 September jam 3.30 petang, di mana pelbagai hadiah menarik tajaan Anna & Hanna akan dimenangi. Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 8 tahun yang boleh mendaftar melalui pautan yang disediakan di media sosial Sunway Putra Mall. Kertas dan peralatan mewarna disediakan semasa pertandingan.
Acara ini juga menampilkan segmen ‘podcast’ yang membincangkan pelbagai topik berkaitan Hari Malaysia, memberikan pengunjung peluang untuk lebih mendalami keindahan negara kita. Jangan lepaskan peluang untuk meraikan Hari Malaysia dengan penuh keceriaan dan semangat perpaduan di Malaysia Kita Roadshow!