Kisah seram yang melibatkan amalan tradisi masyarakat tertentu, terutamanya di Sabah, jarang dipaparkan di layar perak. Filem Mantera tampil berani mengangkat cerita mistik yang berkait rapat dengan tradisi kuno kaum Dusun, khususnya amalan ritual oleh ‘Bobolian’, yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat hingga ke hari ini.
Menurut pengarah filem, Chester Pang, Mantera adalah hasil inspirasi daripada kisah mengenai ‘Bobolian’ yang berperanan sebagai penghubung antara dunia manusia dan dunia roh, atau ‘kinohiringan’. Beliau merasakan penting untuk mengetengahkan amalan tradisi ini yang semakin dilupakan oleh generasi muda. “Ramai yang tidak menyedari bahawa ‘Bobolian’ bukan sekadar seorang bomoh, tetapi juga penjaga keseimbangan antara alam nyata dan alam roh. Ini memberi saya idea untuk mengangkatnya dalam sebuah filem,” jelas Chester.
Mantera dibintangi oleh pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Namron, Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh. Filem ini mengisahkan seorang wanita muda bernama Tana, yang mewarisi kemampuan spiritual nenek moyangnya. Apabila ancaman roh jahat mula mengganggu kehidupan, Tana dan Inspektor Zafri berusaha menyelesaikan misteri pembunuhan yang melibatkan amalan ‘Bobolian’ serta entiti misterius Rogon Lupiah.
Chester juga mendedahkan bahawa penggambaran filem ini di Tambunan, Apin-Apin, dan Kota Belud pada Februari 2024 disertai dengan dua kejadian menyeramkan. “Pada satu babak, dua pelakon wanita dirasuk sewaktu memanggil roh di balai raya, namun berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang berada di lokasi. Satu lagi kejadian melibatkan seorang kru yang terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya ‘ditarik’ oleh sesuatu. Kejadian ini turut disaksikan oleh Syafie dan Namron,” katanya.
Walaupun menghadapi cabaran dan insiden yang mengerikan, Chester percaya bahawa Mantera adalah sebuah filem yang wajib ditonton. Ia bukan hanya sebuah filem seram, tetapi juga membuka mata penonton kepada warisan budaya kaum Dusun yang jarang diketengahkan. “Mantera menggabungkan elemen seram dan mistik dengan keunikan budaya masyarakat Sabah yang sangat menarik. Saya berharap filem ini diterima dengan baik oleh penonton dan berjaya meraih sambutan di pawagam,” tambahnya.
Mantera akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 24 April 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sebuah kisah yang penuh dengan misteri, spiritual, dan kejutan budaya.