LATEST

MARSHA MILAN TERBANG TINGGI! Dari Billboard Times Square ke Panggung ASEAN-Korea – Bintang Malaysia Kini Mendunia!

Marsha Milan terus membuktikan bahawa bakat dan kerja keras tidak mengenal sempadan. Selepas menawan pentas AJL ke-39 sebagai juara, Marsha kini mengorak langkah ke pentas dunia apabila dipilih sebagai Duta Spotify EQUAL Asia bagi bulan April 2025. Detik paling membanggakan? Wajah beliau menghiasi papan iklan ikonik Times Square, New York pada 18 April lalu, sekaligus mewakili artis wanita dari rantau ini yang diiktiraf atas kualiti dan keindahan karya mereka.

Melalui pelantikan ini, Marsha turut menjadi wajah utama playlist EQUAL Singapore & Malaysia yang menampilkan dua buah lagu penuh emosi nyanyiannya, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa. Spotify EQUAL adalah inisiatif global yang memperjuangkan kesamarataan jantina dalam industri muzik, dengan menyorot pencapaian dan suara wanita hebat dari seluruh dunia.

Marsha menyambut berita ini dengan penuh rasa syukur dan teruja. Katanya, “Saya sangat over the moon! Ini kali pertama saya muncul di billboard antarabangsa. Dulu saya hanya berangan-angan, tapi kini alhamdulillah, ia menjadi kenyataan. Sebagai gadis dari bandar kecil di Sabah, peluang ini sangat bermakna buat saya.”

Tambah beliau, walaupun tiada strategi khusus untuk dipilih, beliau percaya bahawa karya yang jujur dan berkualiti akan sentiasa mendapat tempat di hati pendengar. Marsha juga berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat kepada lebih ramai komposer dan penyanyi tempatan untuk terus menghasilkan muzik yang bernilai.

Mengimbas hampir dua dekad penglibatannya dalam industri seni, Marsha berkongsi bahawa rahsia untuk kekal relevan adalah keikhlasan, disiplin, dan kesediaan untuk sentiasa belajar. Katanya, “Industri muzik sentiasa berubah. Kita kena ikut peredaran zaman, tapi dalam masa yang sama jangan hilang identiti diri. Saya percaya hubungan yang baik dengan pasukan dan penyokong juga sangat penting. Kalau kita buat dengan niat yang betul, insya-Allah peluang akan datang.”

Sebagai pelengkap kepada kejayaan antarabangsa ini, Marsha turut diumumkan sebagai antara barisan artis pilihan untuk membuat persembahan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) anjuran KBS World Korea. Festival ini akan berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun depan dan dibawakan dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund. Ini sekali gus meletakkan Marsha sebaris dengan artis-artis serantau hebat dalam meraikan muzik dan bakat Asia Tenggara.

Jangan lupa untuk terus strim playlist EQUAL Singapore & Malaysia di Spotify dan nikmati keindahan vokal Marsha yang menyentuh perasaan. Maklumat lanjut mengenai Festival ROUND serta perkembangan terkini Marsha boleh diikuti melalui media sosial rasmi Alternate Records & Talents di Facebook, Instagram dan TikTok.