Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan bangganya memperkenalkan DE Rantau@Terengganu, destinasi terkini untuk nomad digital yang mengidamkan suasana tenang dan keindahan budaya Malaysia.
Terletak di pesisir pantai timur Semenanjung Malaysia, Terengganu menampilkan gabungan yang mempesona antara pantai yang memukau, warisan budaya yang kaya, serta keindahan alam semula jadi, menjadikannya destinasi pilihan yang ideal untuk nomad digital.
Majlis pelancaran bersejarah ini diadakan di Kampung Budaya Terengganu, di mana YB Datuk Razali Idris, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bagi Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, merasmikan acara tersebut mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Bersama beliau ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan Fabian Bigar, dan Pengerusi MDEC, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh. Dengan ini, Terengganu menyertai barisan lima lokasi DE Rantau lain yang telah dilancarkan sejak tahun 2022, termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Melaka, Kuala Lumpur, dan Perak.
Program DE Rantau bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi nomad digital di Asia Tenggara, sambil mempercepatkan penerimaan digital dan pelancongan di seluruh negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Pas DE Rantau Nomad – kemudahan imigresen khas yang dicipta untuk nomad digital antarabangsa – telah diperkasakan. Kini, ia boleh dipohon oleh para profesional dari pelbagai bidang, bukan hanya dalam teknologi, membolehkan lebih banyak bakat global menikmati bekerja jarak jauh dari Malaysia sambil meneroka keindahan negara ini.
Tambahan pula, syarat Jaminan Bank untuk warganegara Cina dan Bangladesh kini digantikan dengan pilihan bon keselamatan atau bon peribadi. Penyesuaian ini menunjukkan komitmen MDEC untuk menjadikan Malaysia lebih mudah diakses dan mesra kepada nomad digital global. Setakat ini, DE Rantau Nomad Pass telah menerima lebih daripada 3,500 permohonan, dengan 1,741 daripadanya diluluskan.
Program ini turut menyediakan ekosistem yang dinamik dengan lebih daripada 2,183 Hab DE Rantau – pelbagai jenis penginapan yang telah disahkan oleh MDEC sebagai lokasi strategik dan selamat, lengkap dengan internet jalur lebar berkelajuan tinggi serta kemudahan untuk menyokong penginap bekerja dari jarak jauh. Selain itu, MDEC juga bekerjasama dengan 16 Rakan Ekosistem DE Rantau dari pelbagai sektor seperti pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, penjagaan kesihatan, insurans, dan ruang kerja bersama (co-working space).
Pelancaran DE Rantau@Terengganu menjadi lebih istimewa dengan Kunjungan Pengenalan (Fam Trip) yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan MDEC. Bertujuan untuk memperkenalkan komuniti nomad digital kepada keindahan dan keunikan Terengganu, kunjungan ini berlangsung selama tiga hari dua malam. Empat puluh nomad digital tempatan dan antarabangsa, bersama ahli keluarga mereka, akan dibawa melawat beberapa tempat pelancongan ikonik seperti Jambatan Angkat Terengganu, Terengganu River Cruise, Pulau Kapas, Masjid Kristal, Pasar Payang, dan tarikan-tarikan lain di sekitar Kuala Terengganu.
MDEC kekal bertekad untuk mewujudkan destinasi di mana nomad digital boleh berkongsi kemahiran, meningkatkan produktiviti, dan mendapatkan inspirasi baru sambil menikmati keindahan Malaysia. Komuniti nomad digital DE Rantau yang semakin berkembang pesat serta aktif dalam pelbagai acara dan program yang dianjurkan oleh MDEC dan rakan-rakan ekosistemnya, membuktikan keberkesanan DE Rantau serta daya tarikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi nomad digital global.
Untuk maklumat lanjut dan memohon Pas DE Rantau Nomad, sila layari www.mdec.my/derantau.