MDEC Sokong Inisiatif Pendigitalan PMKS dan Rangka Tindakan Ekonomi Perkongsian

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyambut baik langkah progresif Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara (MED4IRN), yang pada 4 Disember 2024 telah meluluskan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Langkah ini dilihat sebagai titik perubahan penting dalam usaha mempercepatkan transformasi digital di Malaysia, dengan sasaran meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi perniagaan sehingga 20% menjelang 2030.

Inisiatif ini merangkumi beberapa komponen utama, termasuk Penyatuan ID Perniagaan dan Penilaian Tahap Kematangan Digital. Kedua-dua elemen ini bertujuan membantu PMKS memilih solusi digital yang sesuai dengan keperluan mereka, seterusnya meningkatkan tahap kematangan digital perniagaan tempatan.

Kerajaan menyasarkan untuk mentransformasi 1.26 juta perniagaan mencapai tahap kematangan teknologi yang lebih komprehensif, dengan 292,000 perniagaan dijangka berada pada tahap kematangan digital menyeluruh. Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, menjelaskan, “Kebanyakan PMKS kini masih bergantung kepada teknologi asas. Matlamat kami adalah memastikan sekurang-kurangnya 80% PMKS menggunakan teknologi digital yang lebih menyeluruh, merangkumi fungsi Front-, Middle- dan Back-Office.”

Beliau menambah, inisiatif ini dirancang dengan kerjasama strategik agensi seperti SME Corp untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan. “Kami yakin langkah ini akan mempercepat agenda pendigitalan perniagaan, menjadikan ekonomi Malaysia lebih tahan lasak dan inovatif,” ujar Anuar.

Dalam perkembangan berkaitan, MDEC turut menyokong keputusan MED4IRN meluluskan Rangka Tindakan Ekonomi Perkongsian (RTEP) serta penambahbaikan tadbir urus Jawatankuasa Kebangsaan Ekonomi Perkongsian (JKEP). Langkah ini bertujuan menjadikan Ekonomi Perkongsian sebagai salah satu pemacu utama ekonomi digital negara.

Sehingga Ogos 2024, terdapat lebih daripada 230 platform Ekonomi Perkongsian beroperasi di Malaysia, dengan nilai pasaran mencecah RM3.6 bilion. JKEP akan dipengerusikan bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Digital, serta diurusetiakan oleh MDEC.

Keahlian JKEP diperluaskan daripada 22 kepada 26 anggota, melibatkan tambahan kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Penambahan ini bertujuan menyokong pembangunan konsep Bandar Pintar (Smart City) dan memastikan aspek keselamatan serta kepentingan pengguna diberikan perhatian serius.

Sebagai peneraju transformasi digital negara, MDEC komited memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau. Inisiatif ini selaras dengan visi Ekonomi MADANI, yang mengutamakan nilai keterangkuman, kemampanan, dan kemakmuran bersama.

MDEC bertekad melaksanakan mandat ini dengan penuh dedikasi untuk mempercepat agenda digitalisasi dan membangunkan ekonomi digital Malaysia ke tahap lebih cemerlang.