Peminat muzik tempatan dijanjikan sebuah malam yang penuh kehebatan menerusi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1, yang akan menampilkan sembilan penyanyi terkenal yang telah lama mencorak dan mempengaruhi industri muzik Malaysia.
Konsert yang sangat dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan barisan artis ternama seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Nurshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi.
Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 adalah sebuah penghormatan kepada tiga dekad serta tiga era kegemilangan dalam industri muzik Malaysia, yang menggabungkan artis-artis lagenda dari pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, dan balada. Persembahan ini akan membawa penonton kembali ke era 80-an dan 90-an, memberikan pengalaman nostalgia yang mendalam bagi semua peminat muzik tempatan. Dalam konsert ini, penonton juga akan menyaksikan kolaborasi eksklusif antara artis yang jarang berlaku, yang pasti akan menambah lagi kemeriahan malam tersebut.
Konsert ini bukan sahaja menjanjikan persembahan solo yang luar biasa, tetapi juga segmen istimewa di mana vokal-vokal hebat akan dipadukan, menjadikan konsert ini lebih istimewa. Peminat boleh menjangkakan detik-detik magis apabila artis-artis dari generasi yang berbeza bergabung dan memberikan sentuhan unik dalam setiap persembahan mereka. Di samping itu, konsert ini akan menyajikan 22 lagu yang pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu, dengan semua lagu tersebut pernah meraih kemenangan di acara berprestij itu.
Kemunculan istimewa Kid Search, yang juga merupakan pemain gitar asal kumpulan Gersang, menerusi lagu “Masih Aku Terasa,” diharapkan akan menjadi satu lagi momen berharga dalam konsert ini. Penganjur konsert, Afiezan Shah Mohd Zahari, yang juga merupakan Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, menyatakan bahawa gabungan semua artis ini bertujuan untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia yang pernah menjadi fenomena.
“Konsert ini bukan sekadar meraikan artis-artis lagenda, tetapi juga bertujuan untuk mengingatkan kita tentang zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan ini telah meninggalkan impak yang luar biasa dalam dunia muzik, dan kami teruja untuk menyajikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi,” ujar Afiezan. Beliau menambah bahawa karya-karya setiap penyanyi yang terlibat dalam konsert ini bukan hanya berjaya menyentuh hati pendengar, tetapi juga mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita.
“Kami sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton pengalaman yang dipenuhi dengan kenangan manis serta nostalgia. Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hits daripada setiap artis tersohor akan diperdengarkan, membawa kembali memori indah untuk semua yang hadir,” tambahnya.
Afiezan berharap agar konsert ini akan menjadi sebuah perayaan yang tidak akan dilupakan, di mana meriahnya muzik akan menghimpunkan peminat-peminat yang sudi bersama untuk meraikan perjalanan indah industri muzik Malaysia serta menghargai bakat-bakat hebat yang telah terbukti. Untuk melengkapkan suasana pada malam itu, penganjur mengajak penonton untuk mengenakan ‘dress code’ bertemakan retro, sekaligus mengabadikan momen bersejarah bersama.
Konsert ini turut menampilkan pengarah muzik Shah Slam dan mendapat sokongan daripada beberapa stesen radio terkenal seperti Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM yang bertindak sebagai radio rasmi konsert. Tiket bagi menyaksikan konsert ini telah mula dijual sejak 29 September lalu dan boleh didapati melalui laman web www.myticketempire.com.
Maklumat lanjut mengenai tiket juga boleh diperoleh dengan melayari Instagram rasmi MEGAHITZ di @pentas365. Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 pastinya akan menjadi sebuah acara yang dinantikan oleh peminat muzik di seluruh negara.