Mengharungi Konflik Perkahwinan Dalam Drama Astro ‘Andai Tiada Dia’

Astro kini mempersembahkan drama bersiri terbaharu yang dinanti-nantikan, bertajuk ‘Andai Tiada Dia’, yang mengisahkan konflik dalam alam perkahwinan. Drama ini bakal ditayangkan mulai 21 Oktober 2024, dan akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).

Naskhah yang ditunggu-tunggu ini merupakan terbitan Global Station dan mengetengahkan pelbagai isu yang sering dihadapi oleh pasangan suami isteri dalam melayari kehidupan perkahwinan mereka. ‘Andai Tiada Dia’ menyelami kehidupan pasangan yang sedang bergelut dengan dilema untuk mendapatkan zuriat, sambil terjebak dalam konflik percintaan terlarang antara adik dan abang ipar. Selain itu, drama ini juga menyoroti ketabahan seorang wanita yang berhadapan dengan pengkhianatan dalam perkahwinannya. Melalui penceritaan yang mendalam ini, penonton akan dibawa mengharungi pelbagai emosi yang timbul daripada setiap konflik yang dipaparkan.

Dengan 36 episod penuh emosi yang dihasilkan di bawah arahan pengarah berbakat, Riza Baharudin, drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, dan Zahiril Adzim. Setiap pelakon membawa watak mereka dengan penuh penghayatan, menjadikan setiap situasi yang mereka alami seolah-olah berlaku dalam realiti sebenar. Ini sekaligus menambah lagi kedalaman dan keaslian naskhah ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, drama ini direka untuk menjadi cerminan bagi pelbagai lapisan penonton, terutamanya mereka yang sedang menjalani hubungan. “Drama baharu Astro bertujuan untuk mencetuskan perbualan yang bermakna mengenai hubungan, perkembangan peribadi, dan cabaran yang dihadapi oleh individu dan pasangan mereka. Dengan mengetengahkan isu yang rumit ini, kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman menonton yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh emosi dan merangsang pemikiran,” ujarnya.

Drama 'Andai Tiada Dia’

Riza Baharudin, sebagai pengarah drama ini, turut menekankan betapa pentingnya kerjasama antara pelakon dalam menjayakan karya ini. “Setiap pelakon memberikan kerjasama yang sangat baik, menjadikan penghasilan drama ini lebih bermakna. Kami juga memberi penekanan kepada elemen Syariah dalam drama ini, termasuklah hubungan antara bukan mahram, proses IVF, dan tempoh iddah. Ini bertujuan agar penonton dapat mengambil ilmu-ilmu ini sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka,” jelasnya.

‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan perjalanan pasangan Suri (lakonan Ummi Nazeera) dan Haikal (lakonan Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Kekecewaan akibat situasi tersebut mendorong Suri untuk meminta izin Haikal bagi menjalani prosedur IVF, tetapi permohonannya diabaikan oleh suaminya yang sudah berasa selesa tanpa anak. Situasi semakin rumit apabila kematian Hisyam, adik Haikal, yang meninggalkan bayi berusia 4 bulan, membawa Suri untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat. Kehadiran Intan (lakonan Mimi Lana), adik Suri, dalam rumah tangga mereka juga menambah ketegangan apabila Haikal dan Intan terlibat dalam hubungan sulit ketika Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.

Drama ini tidak hanya menghiburkan, tetapi juga menyentuh pelbagai aspek kehidupan yang mungkin dialami oleh ramai orang. Selain dapat disaksikan di Astro Ria, ‘Andai Tiada Dia’ juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan sooka.

Bagi anda yang ingin menikmati drama ini, daftarlah sekarang untuk tawaran masa terhad Astro Baharu, JUALAN JIMAT BESAR, dengan harga serendah RM41.99 sebulan serta pemasangan percuma. Nikmati pelbagai hiburan terbaik dalam satu tempat. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut mengenai cara melanggan dan menikmati pengalaman menonton yang tidak dapat dilupakan.

Info Drama ‘Andai Tiada Dia’

Sinopsis:

Selepas tujuh tahun menjalani kehidupan berumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata, akhirnya kebahagiaan yang ditunggu-tunggu oleh Suri tiba apabila dia mengambil keputusan untuk membesarkan seorang bayi sebagai anak angkat. Kelahiran bayi itu membawa sinar harapan baru dalam hidupnya, mengisi kekosongan yang dirasai selama ini. Namun, kebahagiaan yang disangka akan kekal lama itu akhirnya musnah apabila Suri mendapati suaminya, yang selama ini dipercayai, berlaku curang dengan adik perempuannya sendiri. Pengkhianatan dalam keluarga ini meruntuhkan dunia Suri, di mana perasaan kecewa dan terluka mula meresap ke dalam hatinya.

Watak:

Hisym Hamid sebagai Haikal
Ummi Nazeera sebagai Suri
Mimi Lana sebagai Intan
Zahiril Adzim sebagai Falah
Husna Mustaffa sebagai Erma
Lan Siro sebagai Ikhwan
Kodi Rasheed sebagai Rafiq
Mia Nasir sebagai Bainun

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *