Menjelang Showcase Pertama Puteri Khareeza ‘Sebenar’

Setelah meraih kejayaan dalam dunia muzik dan mencuri perhatian di layar televisyen, penyanyi dan pelakon yang serba boleh, Puteri Khareeza, kini bersiap sedia untuk memikat peminat melalui showcase solo pertamanya yang bertajuk ‘Sebenar’.

Showcase ini dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Sidang media eksklusif yang diadakan hari ini memberikan gambaran awal mengenai showcase ini, di mana Puteri akan mempersembahkan single terbarunya, “Sebenar”, yang merupakan lagu runut bunyi (OST) untuk drama popular TV3, Khilaf Yang Tertulis. Dalam majlis tersebut, Puteri juga menyampaikan dua lagu secara eksklusif untuk tetamu media yang hadir.

Puteri Khareeza tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mengenai showcase sulungnya, dan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua peminat. Showcase ‘Sebenar’ bukan sekadar pentas untuk mempamerkan bakat nyanyiannya, tetapi juga peluang untuk peminat mengenali sosok Puteri Khareeza dengan lebih dekat dan meraikan perjalanan seni beliau dalam industri hiburan.

“Saya berasa sangat gugup tetapi juga teruja kerana ini adalah kali pertama saya mengadakan showcase dengan bantuan pihak pengurusan. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk peminat dan keluarga saya,” ujar Puteri Khareeza. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya, terutama pihak pengurusan dan guru vokalnya yang telah membantunya dalam persiapan untuk showcase ini. Dengan latihan selama lima bulan bersama guru vokal, Cikgu Delly, serta sokongan dari Alternate Records, Puteri yakin dapat memberikan persembahan yang mengagumkan.

“Showcase ini adalah pencapaian besar bagi saya sejak memulakan karier dalam industri hiburan. Ini adalah pengalaman pertama saya dan saya akan mengingati momen ini sebagai satu titik penting dalam kerjaya saya,” tambahnya. “Saya berharap dapat menghiburkan semua tetamu dan memberikan persembahan yang luar biasa untuk peminat saya,” katanya penuh harapan.

Showcase

Lagu-lagu yang akan dipersembahkan adalah gabungan karya popular dan beberapa lagu baru yang pastinya akan menggembirakan peminat. Proses pemilihan lagu dilakukan dengan teliti untuk memenuhi citarasa peminat dan menonjolkan keunikan vokalnya. Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk “Sebenar”, “Sakitnya Hati”, “Duka Di Sebalik Tawa”, “Sinaran”, dan banyak lagi. Showcase ini dijangka menarik kira-kira 500 peminat setia, yang juga akan dimeriahkan dengan persembahan kolaborasi istimewa bersama artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni Lagu Cinta Kita 3), dan Adi dari kumpulan Venus.

Puteri Khareeza juga menunjukkan bahawa kejayaan dalam industri hiburan tidak menghalang pencapaian akademik yang cemerlang. Sebagai pelajar jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam, beliau berjaya menyeimbangkan karier dan pendidikan. Sokongan dari keluarga, rakan-rakan, dan terutamanya Alternate Records menjadi sumber kekuatannya. “Pendidikan adalah sangat penting dan perlu diseimbangkan dengan minat saya dalam seni. Alhamdulillah, pensyarah saya sangat memahami dan menyokong kerjaya seni saya,” ujar Puteri. Meskipun menghadapi cabaran, beliau yakin dapat menamatkan pengajian dengan jayanya.

Menurut Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Müzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, showcase ini bertujuan untuk menunjukkan kehebatan Puteri sebagai seorang artis yang mampu mengimbangi dunia hiburan dan akademik. “Puteri bukan sahaja versatil dalam lakonan dan nyanyian, tetapi juga seorang pelajar yang cemerlang. Kejayaannya dalam mengekalkan prestasi seimbang adalah sesuatu yang kami kagumi dan boleh menjadi contoh bagi artis muda lain. Beliau seorang yang rajin dan berdedikasi, dan showcase ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyokong kerjayanya,” kata Puan Shahila.

Sebagai artis muda yang beraspirasi, Puteri telah bersama Alternate Records selama tiga tahun dan telah mencapai banyak kejayaan. Antaranya, beliau merupakan finalis Top 6 dalam rancangan Big Stage dan pernah dicalonkan sebagai BBNU Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2023. Selain itu, beliau juga menjadi wajah utama untuk jenama Panadol dan beberapa jenama terkenal lain.

Dilahirkan dari program realiti Lagu Cinta Kita 3 pada tahun 2022, Puteri Khareeza telah membuktikan dirinya sebagai seorang artis yang serba boleh. Selain nyanyian, beliau juga aktif dalam dunia lakonan, membintangi drama popular seperti Nuh & Nayla, Wanita Syurga, dan Kerana Cinta Itu Ada. Lagu-lagu hitnya seperti “Duka Di Sebalik Tawa” (OST Melur Untuk Firdaus), “Sebenar” (OST Khilaf Yang Tertulis), dan “Helah” (OST Haloba) telah menerima sambutan luar biasa, dengan “Duka Di Sebalik Tawa” meraih lebih 475 juta tontonan di TikTok, 5.4 juta tontonan di YouTube, dan 2.4 juta penstriman di platform dalam talian seperti Spotify.

Showcase ‘Sebenar’ adalah peluang terbesar untuk Puteri menonjolkan bakatnya dan merupakan bukti usaha kerasnya dalam mencapai impian serta memberi impak dalam dunia hiburan tempatan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Puteri Khareeza ‘Sebenar’ Showcase secara langsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November 2024. Mari bersama-sama kita ‘healing’ dengan alunan muzik yang meraikan satu peristiwa penting dalam kerjaya Puteri.

Showcase ini pasti akan menjadi acara yang dinantikan oleh peminat setia yang mengikuti setiap langkah dalam kerjaya seninya. Jadi, tunggu apa lagi? Tandakan 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dalam kalendar anda!

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, sila layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *