Cuaca panas tidak menghalang orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh BABA’S (KJH BABA’S) di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. KJH BABA’S menarik perhatian bukan hanya penduduk tempatan tetapi juga warga dari seluruh utara, mencatatkan lebih daripada 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari (28-30 Julai) berlangsung.
Sambutan KJH kali ini lebih bermakna kerana pengunjung dapat meluangkan masa mereka untuk sama-sama menyambut ulang tahun ke-20 bagi acara padang paling lama di Malaysia di samping meraikan Hari Kari Malaysia BABA’S. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti demo masakan kari, aktiviti info halal bersama BABA’S dan buat pertama kalinya, pemberian pek nasi kari BABA’S secara percuma.
Kemuncak acara KJH adalah pada malam konsert terakhir (Ahad) yang mendapat sambutan hangat apabila perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan itu dibanjiri oleh ribuan penonton! Kemeriahan malam konsert turut menyaksikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, Beliau tidak menyangka acara padang ini menerima sambutan yang sangat luar biasa. Terbukti bahawa ini menunjukkan yang KJH adalah acara yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya warga utara. Turut hadir ialah Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, MPB), Rafiq Razali (Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad MPB) dan Mohd Efendi Omar (Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia).
Keadaan lalu lintas yang sesak sehingga ada yang terperangkap selama 2 jam, tidak menghalang pengunjung untuk memeriahkan suasana konsert KJH. Antara artis yang terlibat dalam konsert KJH (Sabtu & Ahad) ialah Aepul Roza, Budak Nakal Hujung Simpang, Bunga, Insomniacks, Killa Driz, Marsha Milan, Nabila Razali, Naqiu, Puteri Khareeza, Rahmad Mega, Sarah Suhairi, Siti Nordiana, Usop, Zamani dan Zynakal.berjaya memukau warga utara.
Pertandingan Yaribba! Boria merupakan kerjasama Studio Tonton Drama Sangat dan Akademi Boria. Pertandingan Boria ini telah disertai oleh enam kumpulan dari pelbagai lapisan masyarakat. Nasib menyebelahi Kumpulan Fantasi apabila berjaya menjadi Johan bagi kategori keseluruhan, sekaligus berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000. Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Warisan Gemilang (RM6000), diikuti tempat ketiga kumpulan Gema Permata (RM5000) dan tempat terakhir jatuh kepada kumpulan Satuni Gemilang (RM3000). Setiap hadiah kemenangan telah ditaja oleh Akademi Boria.
Pertandingan kostum kanak-kanak (28 Julai) dan telah menyaksikan adik Fira Ayuni Binti Mohd Fazli menjuarai pertandingan ini dengan memenangi RM300, diikitu adik Muhammad Aaqil Shafiyyuddin bin Arik Ahamed (RM200) dan adik Salman Alfarisy bin Ahmad Afandi (RM100).
Kemunculan selebriti popular tanah air di Studio Tonton Drama Sangat selama tiga hari berturut-turut ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk bergambar dan beramah mesra bersama selebriti kesukaan mereka. Keadaan semakin gamat dengan kemunculan Bintang Paling Popular ABPBH 35, Bell Ngasri selain selebriti yang lain seperti Aliff Aziz, Trisha Ooi, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Nabila Razali, Aloy Paradoks, Mathni Razak, Fiza Thomas, Aisha Retno, Da’i Hadhari, Farouk Hussain, Sofea Nursolehha, Ieda Moin dan Fatin Hamimah.
Jangan lepaskan peluang anda kerana KJH akan kembali menggegarkan lokasi-lokasi yang terpilih! Jika anda tertanya-tanya di manakah lokasi seterusnya, sila layari laman sesawang www.jomheboh.com.my dan ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial untuk maklumat yang lebih lanjut.