Minggu kelima Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) menghidangkan tema “Evolusi AJL” yang penuh dengan nostalgia, membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan Anugerah Juara Lagu (AJL). Semua peserta Top 6 berjaya membuktikan bakat mereka dengan menjadikan pentas CSOIAM seakan pentas AJL, mempamerkan persembahan yang penuh dengan emosi, kreativiti, dan kehangatan. Dari irama klasik hingga rock dan moden, setiap persembahan menggetarkan hati penonton.
Pentas minggu ini bukan sahaja diserikan dengan persembahan hebat, tetapi juga dengan kemunculan selebriti terkenal, persembahan istimewa, dan props menarik yang menambahkan elemen kejutan dan keriangan. Tiba di penghujung acara, penonton dikejutkan dengan pengumuman tiada penyingkiran untuk minggu ini, memberikan peluang kedua kepada semua peserta. Keputusan ini berbeza dengan minggu sebelumnya yang penuh debaran, di mana ketegangan terasa seiring dengan proses penyingkiran. Selain itu, satu kejutan lagi diumumkan apabila setiap peserta akan berduet dengan penyanyi ternama pada minggu hadapan. Peluang berharga ini membuka ruang untuk mereka bekerjasama dengan artis terkenal dan mencipta persembahan yang lebih luar biasa.
Episod kelima dimulakan dengan persembahan penuh bertenaga oleh Akim & The Majistret menerusi lagu “Saksama” dan “Obses.” Penampilan mereka menggegarkan pentas dengan karisma dan kehadiran yang begitu kuat. Selepas itu, penonton disajikan dengan persembahan penuh emosi oleh Naim Daniel, yang membawakan lagu “Sumpah” dan “Mainan.” Naim membuktikan lagi bahawa beliau adalah salah seorang bintang terhebat dalam industri muzik tanah air. Persembahan tersebut jelas menunjukkan kematangan dan kekuatan vokalnya.
Sebagai penutup yang penuh nostalgia, legenda muzik tanah air, Datuk Francissca Peter, mengimbau kembali memori manis dengan lagu “Aku Kehilanganmu.” Lagu yang pernah mencipta sejarah dalam AJL musim pertama itu disampaikan dengan penuh magis, dan penonton tidak dapat menahan perasaan teruja menyaksikan kemunculan istimewa beliau di pentas keramat CSOIAM.
Eylia memulakan persembahan dengan lagu “Jampi,” namun terpaksa menerima komen kritikal daripada Datuk Yusry, yang merasakan persembahannya minggu ini kurang menyerlah berbanding minggu sebelumnya. “Ada beberapa bahagian yang sedikit flat, tetapi secara keseluruhan masih baik,” komen Datuk Yusry, memberikan ruang bagi Eylia untuk memperbaiki dan tampil lebih baik pada minggu depan.
Sebaliknya, Jimi, yang berduet bersama Misha Omar menerusi lagu “Terima Aku Seadanya,” mendapat pujian melambung dari juri. Cakra Khan dan Ziana Zain menyifatkan persembahan itu sebagai sangat indah, dengan Ziana Zain memuji kefahaman emosi yang disampaikan oleh Jimi dengan begitu mendalam. Datuk Yusry juga menambah, “Whether you menang or not, saya rasa AJL tahun depan awak akan berada di sana. Malam ini awak memang hebat.” Pujian daripada juri ini pastinya memberi motivasi kepada Jimi untuk terus menyerlah di minggu-minggu seterusnya.
Marygrace membuka persembahan dengan lagu “Irama,” yang asalnya dinyanyikan oleh Shiha Zikir. Kehadiran Shiha Zikir yang turut memberi standing ovation kepada Marygrace menunjukkan betapa hebatnya persembahan tersebut. Datuk Yusry mengulasnya sebagai persembahan terbaik Marygrace setakat ini, memuji tempo yang sempurna walaupun dilakukan sambil menari. Marygrace semakin meyakinkan juri dan penonton dengan bakat dan ketangkasan vokalnya.
Mariam turut mengambil cabaran besar apabila membawakan lagu ikonik Ziana Zain, “Madah Berhelah.” Ziana Zain sendiri memuji usaha Mariam dan berkata, “Siapa yang bawa lagu ini memang susah hati,” namun beliau mengakui bahawa Mariam berjaya memberikan sentuhan peribadi yang segar. Mariam jelas menunjukkan keberanian dalam menginterpretasikan lagu tersebut, sekaligus memperlihatkan kematangan dalam persembahannya.
Kai Deva mencuri perhatian dengan persembahan penuh kemeriahan menerusi lagu “Joget Angan Tak Sudah.” Tidak hanya dengan vokalnya, namun gimik istimewa apabila isterinya membuat penampilan khas di atas pentas turut menarik perhatian. Apa yang lebih menarik, Cakra Khan dan Datuk Francissca Peter turut menari bersama Kai, menambahkan lagi keriangan dan semangat dalam persembahan yang penuh warna-warni ini.
Sementara itu, Zazzleen menutup persembahan dengan lagu “Dari Sinar Mata,” yang turut diserikan dengan kemunculan khas Khir Rahman dan Pekin Ibrahim sebagai cameo pada permulaan persembahan. Walaupun Datuk Yusry berpendapat bahawa Zazzleen perlu lebih berani dalam menonjolkan elemen rock, Cakra Khan dan Datuk Francissca Peter tetap memuji keunikan suara Zazzleen, menyifatkan beliau sebagai “one in a million.” Keunikan vokal Zazzleen jelas memikat hati juri dan penonton, walaupun masih ada ruang untuk meningkatkan lagi elemen keberanian dalam persembahan beliau.
Di penghujung acara, satu kejutan besar diumumkan apabila tiada peserta yang tersingkir pada minggu ini! Keputusan ini membuatkan kesemua peserta Top 6 menitiskan air mata kegembiraan. Keputusan tiada penyingkiran memberikan mereka peluang untuk terus beraksi di minggu-minggu seterusnya dan mempersembahkan lebih banyak bakat yang mereka miliki.
Minggu hadapan, tema “Saling Menyengat, Fizz Sangat!” pastinya menanti dengan kejutan yang lebih hebat! Setiap peserta akan berduet dengan penyanyi terkenal, termasuk Marsha Milan, Shiha Zikir, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Aisha Retno, dan Amir Masdi. Persoalannya, siapa yang akan berduet dengan siapa? Penonton pastinya tidak sabar untuk melihat bagaimana kolaborasi antara peserta CSOIAM dan penyanyi-penyanyi terkenal ini akan berlangsung. Nantikan pengumuman tersebut melalui media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan ikuti perkembangan terkini mengenai kesemua peserta Top 6!
Bagi memastikan peserta kegemaran anda terus berada dalam perlumbaan, undian penonton memainkan peranan yang amat penting. 40% keputusan ditentukan oleh anda, sementara 60% lagi adalah di tangan juri profesional. Oleh itu, penonton disarankan untuk memberikan sokongan penuh kepada peserta yang mereka rasakan layak untuk terus bersaing dan memberikan persembahan terbaik.
Hadiah utama berupa RM 1 juta menanti peserta yang berjaya meraih gelaran juara, dan pastinya setiap peserta berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka. Selain itu, penonton juga berpeluang memenangi PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000! Ini adalah peluang yang tidak patut dilepaskan untuk anda yang sentiasa memberikan sokongan kepada peserta kegemaran anda.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton. Untuk pengikut setia, Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal juga akan bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu pada jam 9.00 malam, memberikan sorotan eksklusif pengalaman peserta dan perkembangan terkini tentang perjalanan mereka.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peserta dan perkembangan terkini, pastikan anda mengikuti @CalpisSodaOIAMTV3 di media sosial. Gunakan hashtag #OIAM untuk terus bersama kami dalam mencipta fenomena luar biasa ini!