Mini EsportsCon, yang dianjurkan buat pertama kali oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI), telah menghimpunkan pemegang taruh esukan, termasuk penerbit permainan terkenal tempatan dan antarabangsa, di bangunan utama Parlimen Malaysia.
Acara ini diadakan untuk meraikan industri esukan yang berkembang pesat dan dinamik di Malaysia, serta menyediakan platform untuk interaksi antara pemain industri sukan elektronik dan warga Parlimen, terutamanya Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap esukan yang semakin berkembang,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan ketika sesi walkabout ke Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.
Penganjuran acara ini turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios.
Acara ini merangkumi sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan demonstrasi permainan untuk memberikan pengalaman langsung dengan pelbagai judul permainan. Turut menarik perhatian adalah pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dirancang untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025. Acara ini juga menyorot Esports MedicA, sebuah inisiatif yang memberikan pendidikan dan khidmat nasihat kesihatan kepada penggiat industri, terutamanya para pemain.