‘Momento’ Keluaran terkini Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan

momento Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan

Lagu terbaru dari Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan yang berjudul ‘Momento’ menyajikan keindahan lirik yang memukau.

Kolaborasi mereka dalam duet ini bukan sahaja menawan, tetapi juga seakan membawa kita kembali ke momen-momen manis awal percintaan yang penuh debaran. Lagu ini diterbitkan oleh Alternate Records & Talents dan dihasilkan oleh komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

‘Momento’ lebih daripada sekadar sebuah lagu cinta; ia mengisahkan pengalaman manis yang terukir di awal percintaan, menonjolkan detik-detik kecil yang memberikan kesan mendalam kepada setiap pendengar. Dengan sentuhan khas Firdaus Rahmat, lirik dan melodi lagu ini dibentuk untuk menjadi kenangan indah yang abadi di hati.

Keserasian yang menakjubkan antara Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan dalam genre pop ini sangat selari dengan karakter ceria mereka dan keunikan suara masing-masing. Melalui kombinasi vokal yang saling melengkapi, mereka telah mencipta alunan muzik yang mampu menghidupkan kembali kenangan indah percintaan, meresap ke dalam jiwa pendengar.

Firdaus Rahmat menjelaskan tentang pemilihan penyanyi untuk lagu ini: “Inspirasi di sebalik ‘Momento’ datang daripada pengalaman semua orang yang pernah merasai keindahan detik awal bercinta. Saya memilih Aqmal dan Ika kerana suara Aqmal yang rendah dan stabil berpadu dengan suara Ika yang lembut dan tinggi, mencipta harmoni yang sangat menarik. Keserasian vokal mereka membuat sesi rakaman berjalan dengan lancar dan menyeronokkan.”

Tambah Firdaus, “Aqmal dan Ika menunjukkan komitmen serta semangat yang tinggi sepanjang proses rakaman, menghasilkan karya yang sangat memuaskan. Mereka sangat profesional dan bijak dalam memanfaatkan kebolehan masing-masing untuk memperbaiki kekurangan. Saya berharap ‘Momento’ menjadi kenangan manis untuk semua pendengar, terutama bagi mereka yang berada di fasa awal percintaan. Lirik yang dekat dengan kehidupan seharian menjadikan lagu ini satu nostalgia cinta yang akan diingati.”

Ika, yang merupakan peserta Program Lagu Cinta Kita Musim Ke 3 di TV3, berkongsi rasa terujanya setelah mendengar demo lagu ini: “‘Momento’ adalah duet pertama saya. Sejak mendengar demo, saya terus jatuh hati dengan lirik dan melodi yang manis untuk pasangan bercinta. Bekerja dengan Firdaus Rahmat juga sangat menyeronokkan, kerana beliau memberi kami kebebasan untuk mengekspresikan kreativiti.”

“Cabaran utama bagi saya adalah membina chemistry dengan Aqmal, kerana lagu ini mempunyai makna mendalam yang dirasai oleh semua generasi. Alhamdulillah, kami berjaya mencipta sinergi yang harmoni. Sikap Aqmal yang ceria dan humoris menjadikan setiap detik di studio penuh keceriaan.”

Aqmal Ramdan, yang merupakan Naib Juara program Terpaling Juara, menyatakan, “Lagu ‘Momento’ adalah single ketiga saya bersama Alternate Records selepas ‘Seindah Kasih’ dan ‘Only With You’. Lagu ini sangat sesuai dengan jiwa saya, dan saya berasa gembira dapat menyumbangkan suara dalam karya yang penuh makna ini. Saya berharap ‘Momento’ diterima baik oleh semua pendengar, terutamanya bagi mereka yang sedang merasai saat-saat awal percintaan. Melodi dan liriknya sangat menyentuh hati, dan saya yakin lagu ini akan kekal dalam ingatan. Saya bersyukur kepada Alternate Records kerana memberi peluang sekali lagi untuk lagu ini, memperkukuh kerjasama yang telah terjalin.”

Kedua-dua Aqmal dan Ika berpendapat bahawa ‘Momento’ adalah lagu yang wajib didengar oleh setiap pasangan bercinta dan menjadi siulan ramai. Mereka berharap, “Kami berharap agar ‘Momento’ dapat meninggalkan kesan mendalam di hati pendengar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang dilamun cinta. Jika ada peluang untuk mempersembahkan lagu ini di pentas Anugerah Juara Lagu, itu pasti akan menjadi impian terbesar kami.”

Lagu ini juga berfungsi sebagai runut bunyi (OST) untuk drama “My Stolen First Kiss” yang kini sedang disiarkan di Tonton. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menikmati alunan indah ‘Momento’ nyanyian Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan yang kini sudah boleh didapati di platform iTunes serta aplikasi penstriman seperti Spotify dan YouTube Music.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *