Musim terbaru ‘Kilauan Emas’ dengan tema segar ‘Otai Kembali Berbisa’ – 2024

kilauan emas

Astro sekali lagi memberi peluang kepada generasi X untuk menunjukkan bakat mereka dengan mempersembahkan rakyat Malaysia berusia 45 tahun ke atas dalam program realiti yang ikonik, ‘Kilauan Emas 2024’.

Setelah berehat selama hampir tujuh tahun, program nyanyian kompetitif ini akan kembali menemui penonton setia di Astro bermula 14 September 2024, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105), serta boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka.

Musim terbaru ‘Kilauan Emas’ kali ini hadir dengan tema segar ‘Otai Kembali Berbisa’, memberi ruang untuk bakat-bakat tempatan yang berpengalaman untuk menyerlahkan kehebatan mereka dalam nyanyian. Para peserta yang terpilih bukan sekadar berbakat dalam nyanyian, tetapi juga memiliki latar belakang dan pencapaian yang pelbagai, menjadikan setiap konsert utama ‘Kilauan Emas 2024’ sarat dengan kejutan dan keunikan. Sebanyak 12 peserta berbakat telah disaring melalui sesi uji bakat yang diadakan pada 3 dan 4 Ogos di SACC Mall, Shah Alam.

Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, menyatakan, “Kami sangat bersemangat untuk membawa kembali ‘Kilauan Emas 2024’ ke Astro untuk peminat setia program ini. Kami sedar bahawa ramai rakyat Malaysia berusia 45 tahun ke atas yang memiliki bakat tersembunyi dan memerlukan platform untuk menunjukkan keupayaan mereka. Dengan program ini, kami berharap dapat memberi peluang kepada mereka untuk bersinar. Musim ini, peserta-peserta kami bukan hanya berbakat, tetapi juga merupakan ‘unsung heroes’ yang ingin mengembangkan bakat nyanyian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.”

Norzeha turut menambah, “Kami percaya bahawa pertandingan seperti ini akan memberi penghargaan kepada generasi ini dengan menampilkan mereka sebagai individu yang masih berbakat dan berprestasi dalam kehidupan. Dari seniman jalanan hingga bekas anggota tentera, setiap peserta mempunyai keunikan tersendiri. Melalui ‘Kilauan Emas 2024’, kami berharap dapat memberi keyakinan dan semangat kepada mereka, serta menginspirasi lebih ramai bakat otai untuk terus mengejar impian mereka.”

Untuk musim terbaru ini, 12 peserta solo dari pelbagai negeri di Malaysia, termasuk Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Terengganu, dengan usia antara 46 hingga 68 tahun, akan bersaing untuk merebut gelaran juara.

‘Kilauan Emas 2024′ bakal menampilkan Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara utama, manakala Joey Daud akan mengendalikan segmen belakang pentas dan diari Kilauan Emas. Panel juri musim ini pula mengekalkan ikon legenda Erra Fazira dan Dato’ Hattan, dengan tambahan pelawak terkenal Roy Azman yang akan memeriahkan episod-episod program dengan sentuhan jenakanya.

Kerjasama dengan Astro Gempak sebagai rakan digital serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi turut menyemarakkan penerbitan ‘Kilauan Emas 2024’, menjadikan program ini lebih dinanti-nantikan dan penuh gemilang untuk tontonan semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *