Muzik Rock Bersatu di Rock Warrior Music Festival!

Rumah Produksi Merah (RPM) yang diketuai oleh lagenda rock, Dato’ Awie, telah mengambil langkah berani dengan menganjurkan Rock Warrior Music Festival (RWMF).

Teknologi dan zaman terus berubah, membawa kita dari era rakaman analog ke era digital yang penuh inovasi. Namun, dalam dunia yang kian moden ini, nama-nama pemuzik legenda seperti Din dan Kid Search, lebih dikenali sebagai Kid Din, serta kumpulan rock ikonik seperti Wings, XPDC, dan May tetap menonjol dan kekal relevan dalam hati peminat di tanah air.

Festival muzik ini bertujuan untuk menyatukan band-band rock tempatan dalam satu persembahan bertenaga dan penuh nostalgia. RWMF akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan bagi penggemar genre rock.

Edisi sulung festival ini akan menampilkan artis-artis terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC Militia, serta Spider, Pop Shuvit, dan A.C.A.B., yang semuanya akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari zaman kegemilangan rock hingga kini. Dato’ Awie menjelaskan bahawa penganjuran festival ini adalah usaha untuk menghidupkan kembali suasana muzik rock yang hebat dan menyatukan peminat dari pelbagai generasi.

warrior

“Rock Warrior Music Festival adalah satu platform baru yang bertujuan untuk mengenengahkan pemuzik lama dan baru. Ini adalah acara tahunan yang kami rancangkan untuk terus berlangsung,” katanya. Beliau juga menekankan pentingnya mencari dan menonjolkan bakat-bakat baru yang mampu menggantikan pemuzik-pemuzik lama yang mungkin akan pergi.

Festival ini juga menjadi peluang terbaik bagi band-band baru untuk mempersembahkan bakat mereka kepada para penonton yang lebih luas. “Ini adalah satu inisiatif Rock United, di mana kami mengumpulkan semua band yang mampu untuk tampil. Kami juga berhasrat untuk mengembangkan festival ini pada tahun-tahun akan datang dengan menjemput band dari Singapura, Indonesia, dan negara-negara jiran,” tambah Dato’ Awie.

Dengan komitmen untuk mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan, RWMF akan menyediakan pelbagai gerai jualan dan aktiviti menarik untuk kanak-kanak. Festival ini bukan sekadar acara muzik, tetapi juga sebuah karnival yang dapat menarik semua lapisan masyarakat. Peminat yang lebih tua akan dapat merasai kembali nostalgia, sementara generasi muda akan memperoleh pengalaman baru yang mengujakan.

“Rock Warrior Music Festival adalah penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia. Kami ingin menghidupkan semula semangat rock dan memberikan pengalaman yang tidak terlupakan kepada semua yang hadir,” tegas Dato’ Awie. Festival ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform hiburan, tetapi juga sebagai tonggak penting untuk mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini.

Selain persembahan muzik yang bertenaga, festival ini juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan. Para pengunjung dapat menikmati gerai makanan dan minuman, serta membeli produk-produk gaya hidup rock yang menarik. Terdapat juga pengisian hiburan untuk seluruh keluarga, menjadikan festival ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Rock Warrior Music Festival turut memperkenalkan Pentas Rock Hero, di mana 24 band akan beraksi—setiap hari 12 band akan tampil dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam di dalam hangar KL Base. Persembahan pada malam pertama akan menampilkan Wings, Search KidDin, dan XPDC Militia, sementara malam kedua akan menyaksikan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B., dan Ella, yang dikenali sebagai Rockqueen.

Tiket untuk Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian melalui laman web rasmi. Harga tiket untuk dua hari adalah Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200, dan Bronze (standing) RM150. Menariknya, pembeli tiket RM150 dibenarkan membawa kerusi healing atau camping untuk keselesaan menonton.

Bagi band yang berminat menyertai Pentas Rock Hero, mereka boleh menghantar demo atau video melalui e-mel atau WhatsApp yang telah disediakan. Dengan pelbagai aktiviti dan persembahan hebat, Rock Warrior Music Festival diharapkan menjadi salah satu acara yang tidak boleh dilepaskan oleh semua peminat muzik rock di Malaysia, dan menjadi platform yang mencorakkan masa depan muzik rock tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *