Dua bintang yang kini berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Nadeera Zaini dan Hael Husaini, terus melakar kejayaan gemilang dalam industri muzik Malaysia. Baru-baru ini, kedua-duanya berjaya melayakkan diri ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39, satu pencapaian yang amat dinantikan oleh para peminat dan industri hiburan tanah air.
Bagi Nadeera Zaini, pencapaian ini amat bermakna setelah lebih sedekad menunggu peluang untuk bertanding di AJL. Lagu hitnya, Bukan Lagi Kita, yang dicipta oleh Hael Husaini dan komposer Iqie Hugh, membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Dengan penuh emosi, Nadeera berkongsi perasaan terharunya: “Saya sangat terharu kerana ini adalah kali pertama saya layak ke pusingan ‘semi final’ dan berjaya menempah tiket ke pentas AJL39.
Untuk sampai ke tahap ini sebagai anak seni bukanlah mudah. Hanya mereka yang bersama saya dalam perjuangan ini benar-benar faham betapa sukarnya buat saya untuk sampai ke hari ini.” Walaupun tidak meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi, Nadeera tetap bersyukur kerana berjaya melangkah jauh di pentas berprestij ini.
Sementara itu, Hael Husaini, yang sudah beberapa kali tampil sebagai finalis AJL sebelum ini, turut berkongsi kegembiraannya. Kali ini, lagu Diam, karya terbaharunya, berjaya memikat hati juri dan melayakkannya ke AJL39. Selain itu, Hael turut berbangga apabila lagu Bukan Milik Kita yang diciptanya untuk Nadeera turut mendapat tempat di pentas AJL39.
Meskipun telah merangkul kemenangan dalam AJL32 dan AJL33, Hael mengakui perasaan gementar tetap hadir setiap kali bertanding. “Perasaan gementar itu tetap ada setiap kali bertanding. Saya hanya memberikan yang terbaik, dan nantikan kejutan di pentas AJL39 nanti,” katanya.
Pencapaian Nadeera dan Hael tidak berhenti di AJL39. Mereka akan mewakili Malaysia di acara berprestij antarabangsa, 29th Asian Television Awards (ATA29), yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November 2024 di Jakarta, Indonesia. Di sana, mereka akan mempersembahkan bakat mereka di hadapan penonton dari negara-negara besar Asia, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Taiwan, Hong Kong, dan Sri Lanka.
Selain itu, mereka juga tercalon dalam kategori Most Popular Solo Male Performer (Hael Husaini) dan Most Popular Solo Female Performer (Nadeera). Ini adalah satu penghormatan besar bagi kedua-dua bintang ini untuk dijemput ke pentas anugerah yang dihadiri oleh nama-nama besar dari dunia hiburan Asia, seperti Luna Maya, Raffi Ahmad, Lesti Kejora, Putri Ariani, dan ramai lagi.
Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan mereka sebagai artis, tetapi juga sebagai wakil negara, membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Kejayaan ini adalah bukti bahawa industri muzik Malaysia semakin dihargai dan diiktiraf di peringkat global.
Kepada peminat dan pengikut Nadeera dan Hael, pastikan untuk mengikuti perkembangan mereka melalui platform digital Rocketfuel Entertainment, di mana anda boleh menyaksikan perjalanan mereka ke arah kejayaan yang lebih gemilang.